Muzium Patung Lilin 'Madame Tussauds' Kini Dibuka Di Dubai

TARIKAN
October 20, 2021 - 07:46 PM


Madame Tussauds yang terkenal di London kini membuka cawangan pertama di negara Arab sempena perasmian muzium patung lilin itu di Dubai.

Perkembangan itu lapor AFP, diharapkan dapat menarik jutaan pelancong untuk mengunjungi Expo 2020.

Jenama berkenaan bermula di kota London, yang memiliki sejumlah 250 patung lilin personaliti dan tokoh ternama dunia, juga mempunyai beberapa cawangan kecil di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.

Madame Tussauds Dubai telah membuka pintunya kepada pengunjung sejak 14 Oktober lalu, seiring dengan pelancaran Expo 2020. 

Pengurus Besar Madame Tussauds Dubai, Sanaz Kollsrud berkata pihak pengurusan telah membuat pemilihan tentang personaliti yang relevan dan popular di rantau itu.

Cawangan Dubai bakal menarik kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa kerana ia mempamerkan 60 patung lilin 'bintang-bintang global', termasuk bintang sensasi bola sepak Lionel Messi dan penyanyi pop Rihanna.

Selain itu, terdapat juga 15 personaliti yang mesra pengunjung serantau, seperti bintang pop Lubnan Nancy Ajram dan Maya Diab.

Dengan rizab minyak yang terhad, Dubai kini menumpukan pada pembangunan sektor pelancongan dan hiburan.

Ketika ini Dubai bergantung kepada kejayaan Expo 2020 Dubai yang berlangsung selama 6 bulan bermula 1 Oktober lalu untuk melonjakkan kembali jumlah kedatangan pelancong, selepas setahun kempen itu ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

Sumber: Awani

Destination: