Nak Tengok Rafflesia Tak Payah Terbang Jauh Ke Sarawak, Kat Kelantan Pun Ada 2 Lokasi Best!

TARIKAN
February 05, 2021 - 11:02 PM


Kalau dulu orang selalu kata nak tengok bunga terbesar di dunia, Rafflesia kena terbang ke Sarawak!

Tapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kelantan juga telah membuat penemuan bunga tersebut dengan lokasi pertama adalah di Lojing, Gua Musang.

Baru-baru ini pula Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menemui satu lagi habitat baharu bunga  Rafflesia tetapi daripada spesies berlainan di Hutan Simpan Kekal Chabang Tongkat, Machang.

Menurut Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah -- Rafflesia atau bunga pakma yang dijumpai ini adalah daripada spesis Rafflesia cantleyi iaitu lebih kecil saiznya berbanding Rafflesia kerrii yang tumbuh di Lojing.

Bunga yang ditemui ini baru sahaja sehari mengembang kelopaknya dengan lebar kelopak bunga 10 sentimeter dan biasanya akan berkembang dalam masa tujuh hingga sembilan hari sebelum mati.

"Di Machang kita dapati ada dua tempat terdapatnya bunga Rafflesia iaitu di HSK Ulu Sat dan HSK Chabang Tongkat.

Susulan penemuan ini pihak jabatan akan terus memantau bunga ini dan akan mengambil gambar serta video setiap minggu bagi merekodkan kitaran hidup bunga ini daripada awal sehingga akhir," katanya.

Meskipun Rafflesia yang baru ditemui ini lebih kecil berbanding yang tumbuh di Lojing, namun ianya tetap dalam kategori bunga terbesar di dunia.

Susulan penemuan Rafflesia itu pihak jabatan bercadang untuk memajukan ekopelancongan pada masa hadapan.

Katanya di HSK Ulu Sat dan Chabang Tongkat masih ada tunas-tunas Rafflesia dan pihak jabatan akan pastikan ianya dapat hidup dan berkembang dengan baik.

"Dalam keadaan ini kita akan pastikan pendaki tidak akan memasuki kawasan HSK yang sememangnya hutan tertutup dan bukannya hutan lipur. 

“Di sini tidak semua pihak boleh memasukinya dan sekiranya mahu memasukinya perlu memohon permit dengan tujuan malah pihak jabatan akan melakukan pemantauan secara berterusan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalim menjelaskan bagi memajukan ekopelancongan pihaknya juga turut menerima sumbangan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebanyak RM100,000 bagi pembinaan laluan denai sejauh 20 kilometer (km) dari Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang hingga Jeram Linang, Pasir Puteh.

Katanya di laluan itu akan ada tiga tempat berhenti rehat dan di situ akan dilengkapi dengan penerangan mengenai spesies-spesies pokok hutan untuk pengetahuan pengunjung.

Kredit Sumber: BERNAMA

Destination: 
Artikel berkaitan