Perigi Tujuh Serendah Di Hulu Selangor Akan Diangkat Sebagai Tapak Warisan Kebangsaan

December 14, 2020 - 03:49 PM


Perigi Tujuh Serendah di Hulu Selangor kini diletakkan dalam senarai inventori Jabatan Warisan Negara untuk diangkat statusnya sebagai "Tapak Warisan Kebangsaan".

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata perigi itu antara 11 butiran di daerah Hulu Selangor/Negeri Selangor yang berada dalam senarai inventori jabatan itu mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) bagi tujuan penyelidikan sebelum diwartakan.

"Jika memenuhi kriteria, tapak ini boleh dicadangkan untuk diangkat statusnya menjadi warisan kebangsaan. Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan selain untuk memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat di tapak perigi tujuh itu," katanya dalam satu kenyataan.

MOTAC akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) Hulu Selangor bagi memastikan tempat-tempat menarik di kawasan itu diketengahkan sebagai produk pelancongan negara.

"Walaupun Perigi Tujuh Serendah di bawah seliaan dan penyelenggaraan Jabatan Pengairan Saliran daerah Hulu Selangor namun MOTAC dari semasa ke semasa akan berbincang bagi tujuan penambahbaikan yang boleh dilakukan di kawasan itu," katanya.

Perigi Tujuh Serendah ini merupakan sistem binaan air yang dibina sejak zaman British yang bertujuan menyalurkan air melalui tujuh perigi yang mengalirkan air ke bawah tanah dan membentuk kolam di bawahnya.

Namun kolam tersebut hanya menjadi kawasan taman rekreasi dan dilarang untuk mandi-manda di situ kerana dikhuatiri terlalu dalam dan berbahaya.

Sumber: BERNAMA

Destination: