'Pit-Stop MRC' - Akses Cruise Tanpa Had Ke 14 Jeti Sepanjang Sungai Melaka

October 26, 2021 - 11:27 AM


Kalau sebelum ini mungkin ramai yang telah merasai sendiri pengalaman menelusuri keindahan di sepanjang Sungai Melaka dengan menaiki Melaka River Cruise (MRC).

Namun untuk sesi pelancongan pasca pandemik ini apa kata anda cuba pula satu lagi tawaran menarik mereka iaitu Pit Stop MRC yang melakukan hentian di 14 jeti di lokasi menarik sepanjang Sungai Melaka. 

Lebih best, Pit Stop MRC ini boleh anda naiki tanpa had sepanjang hari sehingga pukul 12 tengah malam. 

Jadi nak naik berulang-ulang kali pun boleh, takde masalah....

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, sebanyak 3 buah bot disediakan bagi pakej tersebut.

Pakej Pit Stop MRC tersebut disediakan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung khususnya mereka yang ingin melawati kawasan tumpuan pelancong di sepanjang sungai berkenaan. 

Kini pengunjung tidak perlu bimbang dengan pengangkutan atau kesesakan lalu lintas sekiranya ingin melawati kawasan di sepanjang Sungai Melaka kerana kita menyediakan hentian di 14 buah jeti di lokasi-lokasi menarik. 

“Jeti-jeti ini juga terletak berhampiran kawasan penginapan termasuk The Shore dan pakej ini boleh dimanfaatkan dalam masa sehari bermula dari pagi sehingga tengah malam,” katanya selepas majlis pelancaran di Taman Rempah, Banda Hilir baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap jeti berada di bawah Program Anak Angkat Jeti, di mana kemudahan itu akan dijaga oleh pihak yang dipertanggungjawabkan mengikut destinasi. 

“Sebagai contoh, Jeti Kampung Morten saya utamakan kepada Pengerusi Rumah Inap Kampung Morten, Jeti The Shore kita serahkan kepada pihak pengurusan hotel terbabit, manakala Jeti Kampung Hulu diserahkan kepada Arang Cafe yang terkenal dengan menu Cendol Kampung Hulu. 

“Tujuannya adalah supaya mereka menjadikan jeti ini sebagai sebahagian daripada kemudahan ke kawasan mereka dan secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung,” jelasnya. 

Tiket pakej Pit Stop MRC itu dijual pada harga RM40 bagi dewasa, kanak-kanak (RM25) dan RM30 untuk warga emas serta pelajar.

Jika berminat anda boleh membuat pembelian tiket secara online di melakarivercruise.my/pitstop.php.

Sumber: UTUSAN

Destination: