Pura Tanjung Sabtu - Cantik Tapi Dibiar Usang

April 15, 2021 - 05:18 PM


'Cantik Namun Dibiar Usang', itulah ungkapan yang sering keluar dari mulut sesiapa yang berkunjung ke Pura Tanjung Sabtu yang terletak di Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Terengganu.

Pura Tanjung Sabtu kelihatan seperti istana lama yang sangat besar dan cantik, kena dengan namanya Pura yang bermaksud Istana. Namun di dalam, lantainya sudah diselaputi lumut dan barangan serta perabot yang bersepah.

Turut dikenali sebagai Tujuh Rumah Putera, Pura Tanjung Sabtu merupakan gabungan tujuh rumah kayu tradisional Terengganu di kawasan tanah pusaka seluas 5.66 hektar berdekatan dengan tebing Sungai Nerus. Ada juga yang mendakwa salah sebuah rumah di situ merupakan istana lama.

Sebelum ini, Pura Tanjung Sabtu merupakan sebuah inap desa yang diasaskan seorang kerabat diraja Terengganu, Allahyarham Tengku Ismail Tengku Su, kira-kira 30 tahun lalu.

Sekitar tahun 1990-an, Pura Tanjung Sabtu terkenal dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara terutama golongan VIP dan kerabat diraja. Rumah-rumah tradisional di Pura Tanjung Sabtu yang antaranya dinamakan Rumah Seberang Baroh, Rumah Rhu Rendang, Rumah Kuala Ibai dan Rumah Atas Tol berusia antara 100 hingga 200 tahun.

Selepas Allahyarham Tengku Ismail, yang juga digelar ‘Putera Songket’ mangkat pada 2011, tiada siapa lagi yang menguruskan Pura Tanjung Sabtu sehingga ia terbiar usang seperti sekarang. Namun kini, selepas jalan masuk ke Pura Tanjung Sabtu dibersihkan untuk kegunaan sebuah kebun pisang, Pura Tanjung Sabtu kembali terkenal dalam kalangan orang ramai.

Penduduk tempatan serta Pihak Berkuasa Tempatan turut melahirkan kerisauannya kerana keadaan rumah tersebut yang semakin usang dan terdapat bahagian rumah itu seperti tangga telah dicuri. Kawasan Pura Tanjung Sabtu ini berdekatan dengan sungai, jadi sesiapa sahaja boleh datang, sama ada melalui jalan darat atau sungai untuk mengambil barang-barang seperti pasu bunga dan perabot.

Mereka di sini berharap ada pihak yang sudi mengambil alih, menjaga dan menaikkan semula Pura Tanjung Sabtu sebagai lokasi pelancongan terkemuka seperti dahulu, kerana jika tiada siapa yang menjaganya, warisan seni bina Melayu ini akan terbiar begitu sahaja.

Sumber: Bernama

Destination: