Puteri Yang di-Pertuan Agong Kongsi Fakta Menarik 'Masjid Putih' Abu Dhabi
Abu Dhabi sebuah destinasi pelancongan yang menjadi dambaan ramai pelancong dari serata dunia.
Selain terkenal dengan deretan bangunan pencakar langit yang futuritik serta keindahan padang pasir yang terbentang luas, Abu Dhabi yang diberi jolokan antara bandar raya terkaya dunia juga sebenarnya mempunyai sebuah masjid yang terbesar di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan ketiga terbesar di dunia!
Masjid yang menjadi tumpuan pelancong dunia itu dinamakan Masjid Sheikh Zayed.
Baru-baru ini juga, masjid tersebut telah dikunjungi oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama salah seorang puteri baginda iaitu Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah ketika lawatan peribadi keluarga diraja itu ke Abu Dhabi pada 29 November hingga 3 Disember lepas.
Menerusi laman Twitter rasmi puteri keempat Yang di-Pertuan Agong, Tengku Puteri Afzan ada berkongsi gambar-gambar kenangan indah bersama Bonda dan Puteri Suraiya di masjid berkenaan serta beberapa fakta menarik mengenai Masjid Sheikh Zayed yang telah melakar rekod dunia, antaranya :-
1) Tahukah anda, permaidani (carpet) anyaman tangan terbesar di dunia berukuran 5,267 meter persegi terdapat di di Abu Dhabi? Permaidani ini mengambil masa setahun untuk disiapkan oleh 1, 200 orang penganyam.
2) Masjid ketiga terbesar di dunia ini dinamakan sempena Sheikh Zayed bin Al Nahyan, pengasas dan Presiden pertama Emiriah Arab Bersatu.
3) Di sini juga terdapat salah sebuah chandelier terbesar di dunia, kesemuanya diperbuat dari tembaga dan bersalut emas.
4) Masjid mewah ini turut menggabungkan seni bina Parsi dan Mughal, dipengaruhi oleh Masjid Abu al-Abbas al-Mursi di Iskandariah.
Jika anda berkunjung ke Abu Dhabi, masjid ini adalah antara tempat "must-visit" yang harus ada di dalam itinerari perjalanan!
Masjid Sheikh Zayed yang juga mendapat jolokan 'Masjid Putih' Abu Dhabi ini dibina pada tahun 1996 dan dibuka pada tahun 2007 dengan kapasiti 41 ribu jemaah.
Kredit: Twitter @tengkuafzan1