Putrajaya Bakal Berwarna-Warni Sempena Hari Wilayah Persekutuan

January 27, 2022 - 10:58 AM


Pemetaan cahaya berkonsepkan Keluarga Malaysia mewarnai Tangga Putrajaya di sini pada setiap malam mulai 26 Jan hingga 29 Jan, sebagai simbolik meraikan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

Ia merupakan salah satu acara dalam program Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya, yang dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim semalam.

Pemetaan cahaya di mercu tanda baharu Putrajaya itu akan bermula 9 malam hingga 11 malam, demikian menurut kenyataan dikeluarkan Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena majlis pelancaran Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Bertemakan Keluarga Malaysia, pemetaan cahaya itu memaparkan kejayaan Putrajaya dari awal perancangan, seni bina dan pengurusan alam sekitar dari awal tahun 1995 sehingga ke hari ini.

Sementara itu, PPj memaklumkan mercu-mercu tanda di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan juga akan bermandi cahaya pada setiap malam bermula semalam sehingga 28 Feb, sempena Bulan Pencahayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu.

Bulan Pencahayaan Putrajaya diadakan bertujuan menceriakan serta menyemarakkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 di samping memupuk rasa cinta dan sayang serta aspirasi 'Our City Our Home' bagi warga Wilayah Persekutuan.

Destination: