Syoknya, Mandi Dengan 'Pelangi' Dekat Air Terjun Di Sungai Lembing Ni!

November 13, 2020 - 06:40 PM


Siapa yang tidak terpukau dengan keindahan warna pelangi, apatah lagi jika melihatnya dari kawasan air terjun yang tinggi?

Keunikan 7 warna pelangi yang terbentuk daripada pancaran mentari pagi pada air terjun setinggi 50 meter membuatkan 'Air Terjun Pelangi', Sungai Lembing, Pahang -- sentiasa mendapat tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Untuk sampai ke situ pelancong perlu perlu bergerak awal pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai untuk membawa penumpang melalui jalan berbatu dalam kawasan Hutan Simpan Remen Cereh sejauh 18 kilometer (km).

Sepanjang perjalanan pelancong boleh melihat kehijauan pelbagai spesies pokok balak seperti meranti, merbau, kelat dan keruing yang berusia puluhan tahun. Kanopi yang menarik serta saiz pokok besar pasti menarik perhatian setiap mata yang memandang.

Di satu hentian yang terletak atas bukit pelancong berpeluang melihat kabus tebal seolah-olah pandangan dari tingkap kapal terbang.

Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran, Pahang yang melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kampung Seberang Baharu, Sungai Lembing sebagai agensi pemantau.

Lubuk Berok menjadi pusat hentian utama dan berkumpul sebelum pelancong perlu berjalan sejauh 1.3km untuk sampai ke kawasan Air Terjun Pelangi.

Penggunaan kasut getah amat penting untuk keselesaan dan keselamatan terutama sepanjang pelancong berjalan atas batu.

Laluan dalam hutan termasuk atas batu secara mendaki dan menurun bukit menguji kekuatan fizikal seseorang, di kawasan tertentu yang curam tali pemegang disediakan untuk keselamatan pelancong. Berjalan mengambil masa 15 hingga 30 minit.

Bagi mereka yang minat dengan hobi bergambar pasti tidak akan melepaskan peluang mengabadikan kenangan menakjubkan di Air Terjun Pelangi, kepuasan pasti terasa walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.

Berada dua hingga tiga jam di kawasan air terjun berkenaan pasti menyeronokan, terasa lapar hidangan mi segera dan minuman panas disediakan secara pakej oleh pemandu pelancong.

Bagi pelancong yang ingin berkunjung ke Air Terjun Pelangi mereka perlu mendapatkan permit memasuki hutan simpan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Kebiasaannya setiap pemandu pelancong dan agensi pelancongan yang berdaftar akan membantu pengunjung menyediakan permit terlebih dahulu.

Bayaran RM60 yang dikenakan pada setiap pelancong yang berkunjung ke Air Terjun Pelangi termasuk caj permit memasuki hutan simpan, pengangkutan dan makan.

Jumlah pelancong ke Air Terjun Pelangi bertambah dua hingga tiga kali ganda pada hujung minggu dan cuti umum namun jumlah kehadiran mereka dikawal bagi mengelak kesesakan dan perkara yang tidak diingini berlak.

Selain Air Terjun Pelangi, produk pelancongan lain yang terdapat di Sungai Lembing ialah Bukit Panorama, Muzium Sungai Lembing, suasana pekan Sungai Lembing dan kesan peninggalan aktiviti perlombongan bijih timah.

Sumber: Harian Metro 

Destination: