Taiping Dihiasi Lukisan Mural 3D Terbesar Di Malaysia

December 27, 2019 - 05:47 PM


Setelah diiktiraf sebagai 3 bandar paling lestari di dunia selepas Ljubljana di Slovenia dan Vancouver di Kanada, Taiping kini mempunyai satu lagi tarikan pelancongan yang menarik iaitu lukisan mural 'Amelia Earhart'!

Lukisan pada dinding di sebuah premis di Jalan Abdul Jalil itu turut diiktiraf sebagai lukisan mural 3D terbesar oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Mural itu menceritakan kisah penerbangan solo wanita pertama merentasi Lautan Atlantik, Amelia Mary Earhart yang singgah mengisi bahan api di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, Perak pada 20 Jun 1937.

Lukisan mural berukuran 14.60 meter tinggi dan 27.44 meter lebar itu dilukis oleh enam pelukis dan siap pada 31 Ogos lepas dengan peruntukan RM280,000 yang disumbangkan pihak swasta.



Lukisan mural merupakan komponen warisan yang tidak ketara dan ia menggambarkan kegemilangan bandar Taiping pada masa silam di samping menyampaikan penceritaan lama yang tersirat.

Peristiwa itu diabadikan dengan mempamerkan wajah wanita hebat itu di dinding Taiping sebagai signifikan beliau pernah singgah di bandar tersebut.

Bukan mural itu sahaja, malah sebanyak 12 lagi lukisan sebesar mural Amelia Mary Earhart itu bakal dilukis di bandar Taiping bagi mengabadikan sejarah yang berlaku di Taiping sejak penubuhannya pada 1874.

Antara lukisan mural berkenaan adalah wajah beberapa atlet yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara seperti Junaidah Aman (olahraga) serta M. Karathu (bola sepak).

P/S: Jadi lepas ni sesiapa yang melancong atau berjalan-jalan ke Taiping, jangan lupa untuk mengabadikan gambar kenangan berlatar belakangkan lukisan-lukisan mural wajah-wajah yang pernah mengharumkan nama bandar yang terkenal di Perak itu.

Sumber: Bernama

 

Destination: