Taman Kucing Dungun - Tarikan Terbaru Untuk Pencinta Si Bulus

November 04, 2020 - 05:23 PM


Anda seorang pencinta kucing dan ingin menghabiskan masa bersama mereka ketika sedang bercuti di Terengganu?

Jika ya, mungkin anda boleh singgah ke TAMAN KUCING DUNGUN ini yang menempatkan sebanyak 30 ekor kucing jalanan yang dijumpai terbiar di lokasi-lokasi awam.

Selain memberikan tempat perlindungan, kucing-kucing di sini juga turut menerima rawatan serta dijaga dengan rapi daripada sebarang gangguan.

Bertempat di Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun lokasi ini sebenarnya cukup sinonim sebagai pusat riadah dan aktiviti pendakian -- namun pengunjung kini mempunyai satu lagi tarikan baharu iaitu berpeluang bermanja dengan anak-anak bulus di sini.

Terdapat lima sangkar pengasingan disediakan mengikut kategori kesihatan haiwan iaitu Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Unit Kucing Bahagia, Wad Keluarga Bahagia serta Wad Rawatan Ibu dan Anak.

Setakat ini, tiada sebarang bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung.

Malah taman yang mempunyai kapasiti yang mampu memuatkan 150 kucing pada satu-satu masa ini juga turut sesuai dijadikan pusat rekreasi keluarga yang cintakan alam semulajadi.

Jika anda berkunjung ke Taman Kucing Dungun ini, jangan lupa untuk membawa sumbangan berbentuk makanan kucing, ubat-ubatan, peralatan atau sumber kewangan bagi membantu menampung keperluan kucing-kucing tersebut.

Selain dapat bermesra dengan si comel, dapat juga kita bantu kebajikan serta kesejahteraan mereka bersama.

Sumber: Bernama

Destination: