Tertanya-Tanya Apa Sebenarnya Warna Busana Saloma Dalam Filem Hitam Putih P.Ramlee? Korang Tengok Sendiri Di Fahrenheit88!

April 22, 2022 - 05:11 PM


Kalau biasa kita tonton filem-filem lama di kaca TV, mesti kita selalu tertanya-tanya apa sebenarnya warna pakaian yang digayakan oleh Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma -- walaupun dalam visual hitam putih sudah dilihat cukup menawan.

Berusia hampir 60 tahun -- kecantikan, keunikan serta warna-warni busana dan aksesori fesyen yang pernah digayakan pemilik nama sebenar Salmah Ismail itu kini boleh disaksikan sendiri di "Pameran P. Ramlee & Saloma" selama sebulan yang berakhir 16 Mei ini di pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Daripada 29 artifak yang dipamerkan -- paling memukau pengunjung adalah gaun retro yang pernah digayakan Saloma yang terkenal sebagai 'Perintis Fesyen Malaya' dalam filem Ragam P. Ramlee terbitan tahun 1964 .

Keistimewaan gaun warna perak berkilauan itu terletak pada tulisan 'SALOMA' berwarna merah di bahagian depan yang menggunakan labuci serta manik silinder yang dijahit sendiri ikon fesyen retro tersebut.

Selain itu, fesyen gaun berkenaan yang mempunyai belah pada bahagian belakang turut direka sendiri oleh pelakon legenda tersebut serta dibantu teman rapatnya, Nona Asiah yang menjahit busana itu.

"Menurut sumber keluarga dan rakan baiknya, Saloma diketahui seorang yang minat berfesyen serta gemar menjahit labuci dan mengait, malah kebanyakan pakaian beliau adalah hasil rekaannya sendiri.

"Selain rekaan bajunya yang cantik dan unik, ikoniknya fesyen Saloma ni adalah saiz pinggangnya yang ramping dianggarkan sekitar 22 inci, sehingga kami perlu menempah 'mannequin' (boneka pakaian) khas supaya padan dengan pakaian," kata penyelaras pameran, Khairunnasya Mohamed Shazali.

Khairunnasya berkata, fesyen unik yang dipopularkan 'Marilyn Monroe of The East' itu termasuk kain kipas, peplum, kain sempit, kain belah dan kebaya ketat yang masih mengekalkan ciri-ciri ketimuran dengan penambahan unsur gaya barat.

Turut dipamerkan adalah kaca mata, kasut, tas tangan milik penyanyi lagu 'Bila Larut Malam' itu selain 18 artifak milik Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee antaranya mesin taip, biola, seruling dan kasut.

Katanya, kesemua artifak yang disimpan oleh Arkib Negara Malaysia di Pustaka Peringatan P. Ramlee di sini dan di Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang itu menjalani teknik konservasi profesional bagi menjamin kelangsungan elemen warisan serta kualiti fabrik.

Pameran itu dianjurkan Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama pusat beli-belah Fehrenheit88 bersempena kempen Hari Raya Aidilfitri 'Raya Melodies', yang dua tokoh tersebut diangkat menjadi tema dekorasi pusat beli-belah tersebut.

Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar: Fahrenheit88 Shopping Mall

Destination: