'Tower Walk 100' : Menara KL Tawar Pengalaman Berjalan 360 Darjah Di Sekeliling Pelantar

December 17, 2021 - 01:29 PM


Menara Kuala Lumpur memperkenalkan 'Tower Walk 100' sebagai tarikan terbaharu sempena ulang tahun ke-25 ikon menara tersebut.

Produk terbaharu itu menawarkan peluang kepada pengunjung pengalaman berjalan 360 darjah mengelilingi pelantar sambil menikmati panaroma bandar raya Kuala Lumpur dari ketinggian 100 kaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar berkata tarikan terbaharu itu terletak di tingkat T02 tiang menara dan telah dibuka kepada pengunjung bermula 27 November lepas.

Pengunjung akan dilengkapi dengan pemakaian peralatan abah-abah bagi tujuan keselamatan dan harga istimewa turut diberikan kepada warga Malaysia iaitu RM35 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak.

Sementara itu, menurut Ainol Shaharina Menara Kuala Lumpur juga sedang mengadakan promosi Jualan Akhir Tahun dengan setiap pembelian 1 tiket dewasa akan mendapat 2 tiket percuma bagi kanak-kanak pada hari biasa sehingga 31 Disember ini.

Pihaknya turut melakukan sanitasi penuh serta pembersihan secara berkala setiap hari di seluruh kawasan premis Menara Kuala Lumpur mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar: FB Menara KL

Destination: