Wow! Dekat Korea Selatan Ada 'Jambatan Malaysia', Tanda Hubungan Baik Sekian Lama

April 28, 2021 - 03:46 PM


Sekarang ni, ramai dah rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melancong ke Korea Selatan, dan kebanyakkannya dipengaruhi oleh fenomena K-Pop, ataupun K-Drama yang digilai ramai, terutama sekali gadis-gadis di Malaysia. 

Namun, kalau dilihat pada sejarah, negara Malaysia dan Korea Selatan mempunyai hubungan yang baik sejak dahulu lagi pada aspek pelaburan ekonomi, budaya dan pendidikan. Malaysia dan Korea Selatan pertama kali menjalinkan hubungan diplomatik dua hala pada 1960 selepas kerajaan Malaysia membuat kunjungan rasmi ke Korea Selatan. 

Tahun lalu, 2020 merupakan ulang tahun ke 60 hubungan baik antara kedua-dua buah negara, dan sorang produser tempatan Korea Selatan telah menghasilkan sebuah video tentang kewujudan 'Jambatan Malaysia' di Korea Selatan. 

Kisah mengenai jambatan yang terletak di Paju-Si ini menjadi popular selepas seorang rakyat Korea Selatan menemui jambatan tersebut di dalam aplikasi peta dan wanita tersebut telah pergi sendiri untuk melihat dengan lebih dekat jambatan tersebut dan mengapa ianya dinamakan sempena negara Malaysia. 

Di sebelah jambatan tersebut, terdapat sebuah batu kuning yang memaparkan maklumat mengenai jambatan yang menjadi bukti hubungan baik antara Malaysia dan Korea Selatan. Kelihatan pada batu tersebut, jambatan itu diberikan nama "Ma-Ray-Sia Gyo" di mana "Ma-Ray-Sia" sebutan lama orang Korea untuk Malaysia. 

Jambatan itu telah disiapkan pada 25 Ogos 1966 oleh syarikat Han Heung Public Corporation. Menarik lagi, jambatan yang melintasi Sungai Gosancheon yang berusia lebih 60 tahun itu masih kekal utuh dan digunakan secara harian oleh penduduk tempatan.

Berdasarkan tarikh tersebut, jambatan itu telah dibina 6 tahun selepas kedua-dua kerjaan menjalinkan hubungan diplomatik. Menurut seorang penduduk berdekatan jambatan itu, jambatan tersebut dinamakan sempena Malaysia kerana Malaysia telah bermurah hati pada ketika itu untuk menghulurkan sumbangan kewangan untuk menyiapkan jambatan itu, membolehkan rakyat tempatan untuk melintasi sungai kecil. 

Tanpa jambatan itu, mereka pada waktu dahulu akan memijak batu-batu kecil untuk menyeberangi sungai tersebut. Malangnya, apabila musim hujan tiba dan paras air naik, kanak-kanak tidak dapat ke sekolah kerana paras air yang tinggi menghalang mereka daripada menyeberangi sungai.

Apabila ditanya mengapakah kawasan tersebut menjadi pilihan untuk mendapat bantuan kewangan bagi pembinaan projek jambatan tersebut, lelaki tersebut menjawab tidak pasti namun beranggapan kemungkinan
kawasan tersebut mungkin merupakan antara bandar terawal di Korea Selatan satu ketika dahulu. Secara geografinya, kawasan ini terletak kira-kira 1 jam perjalanan daripada bandar Seoul.

Sumber: Iluminasi

Destination: