Wow, Melaka Bakal Miliki Masjid Terapung Antara Yang Tercantik Di Dunia?

May 06, 2021 - 12:57 PM


Wah, selepas memiliki ikonik pelancongan iaitu Masjid Selat yang popular sebagai masjid terapung di Melaka -- kini negeri itu bakal melakar satu lagi rekod baharu apabila dikatakan akan membina sebuah lagi masjid terapung yang didakwa antara masjid tercantik di dunia!

Masjid Selat Melaka

Masjid terapung berkenaan dianggarkan bernilai  RM14 juta dan akan dibina di Pulau Besar, Melaka.

Menurut laporan Melaka Hari Ini, pengumuman mengenai pembinaan masjid tersebut dibuat oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat.

Menurutnya,  pembinaan itu merupakan antara agenda dalam menjadikan Pulau Besar sebagai Pusat Tamadun Islam di negeri Melaka.

Beliau berkata untuk membangunkan masjid itu, kerajaan negeri bakal melancarkan Saham Wakaf Masjid Pulau Besar tidak lama lagi -- yang mana ia membolehkan orang ramai mendapatkan saham akhirat daripada sumbangan pembinaan masjid terapung tersebut.

“Sekarang kita dalam proses menyiapkan kertas kerja sebelum ia dihantar kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diluluskan.

“Prosesnya mungkin memakan masa, tetapi saya percaya jika ia direalisasikan, masjid tersebut bakal menjadi antara masjid tercantik di dunia,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Selain masjid di bahagian Selatan Pulau Besar juga akan dibangunkan Sekolah Tahfiz yang boleh menempatkan 500 golongan cerdik pandai dalam bidang agama -- selain turut merancang pembinaan Quran Village dan Muzium Islam sebagai bukti agama Islam bermula di Melaka.

“Malah, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali juga dalam cadangan menjadikan kawasan Pulau Besar sebagai kawasan patuh syariah yang mana semua pengunjungnya nanti wajib menutup aurat.

“Sesiapa sahaja pengunjung yang ingin masuk ke kawasan Tamadun Islam di Pulau Besar wajib memakai pakaian yang menutup aurat, walaupun datang untuk bergambar atau bermain golf sekalipun. Ini akan kita usahakan,” katanya.

Ditanya mengenai status Pulau Besar sebagai tempat pemujaan dan aktiviti khurafat, Che Sukri berkata, semua itu kini hanya tinggal sejarah selepas pihaknya bersama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membersihkan segala sisa-sisa aktiviti pemujaan dan akan terus memantau segala aktiviti yang dijalankan di pulau terbabit selepas ini.

Sumber: Melaka Hari Ini

Destination: