Wow, Pulau Pinang Ada 5 Lokasi 'Insta-Worthy' Baru Berupa Lukisan Mural Kontena!

January 21, 2020 - 12:58 PM


Kalau sebut pasal 'street art' atau seni jalanan, pastinya Pulau Pinang antara destinasi yang menjadi tumpuan untuk penggemar seni berkenaan.

Sebelum ini, lukisan mural banyak dilukis di atas beberapa jenis barangan ataupun dinding-dinding bangunan lama.

Namun kali ini Pulau Pinang sekali lagi mencuri tumpuan apabila mencipta sejarah dipilih sebagai lokasi penganjuran Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena (PICAF) 2020 yang julung kali diadakan di rantau Asia.

Menerusi festival berkenaan, korang boleh melihat sendiri kontena-kontena yang dihiasi dengan lukisan mural yang sangat berseni setinggi 12 meter!

Menariknya, kontena-kontena ini juga disusun secara rawak, ada yang menegak dan tidak kurang juga diletakkan secara bertingkat-tingkat.

Kalau korang berminat untuk melihat atau bergambar berlatar belakangkan lukisan mural unik ini, ada 5 lokasi di sekitar Pulau Pinang yang boleh korang singgah, iaitu:-

- Kampung Terang Balik Pulau

- Prangin Mall, George Town

- Aspen Vision City, Batu Kawan

- Persiaran Karpal Singh, Bandar Sungai Pinang

- Dataran Pemuda Merdeka, Butterworth

Acara yang telah pun bermula sejak Disember lalu akan diadakan sehingga bulan Mei nanti.

Sebanyak 10 mural dihasilkan oleh 12 pelukis tempatan serta antarabangsa dan ia merupakan penceritaan visual identiti tempatan bertujuan mewujudkan perasaan cintakan Pulau Pinang dengan lebih mendalam.

Buat masa ini, mural di Balik Pulau yang memaparkan lukisan pada kontena setinggi 40 kaki terletak di tengah sawah padi, telah siap dan sedia menerima kunjungan pelancong.

Menariknya, TIADA sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung dan lampu turut dipasang untuk menerangi kawasan sekitar bermula pukul 7.45 malam hingga 11 malam bagi memudahkan pengunjung mengambil gambar.

Sepanjang festival itu berlangsung, pengunjung berpeluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dan acara berkaitan seni yang melibatkan komuniti setempat termasuk persembahan muzikal, hiburan jalanan, bengkel kebudayaan dan seni, 'fun walk', lawatan berpandu tempatan, tarian zumba, program keraian tempatan dan aktiviti pelakaran urban.

Sumber: Bernama

Destination: