Wow, Terengganu Miliki e-Beca Canggih Lengkap Dengan Aksesori Moden!
Jika bercuti ke Melaka, Kelantan dan Terengganu -- antara tarikan pelancongan yang digemari adalah bersiar-siar menaiki pengangkutan ikonik tradisional iaitu beca yang biasanya dikayuh oleh pakcik-pakcik yang telah berusia.
Dengan basikal usang dan berat, kadang-kala hampir terdetik di hati untuk tidak menaiki beca mereka kerana terlalu kasihankan kudrat mereka yang terlalu tua hingga menyebabkan rasa bersalah untuk pakcik-pakcik beca membawa kita jalan-jalan.
Namun kini dengan inovasi teknologi moden -- perasaan kasihan atau rasa bersalah tidak akan lagi membelenggu para pelancong yang ingin menaiki beca terutama di Terengganu.
Ini kerana beca tradisional di Terengganu kini telah ditransformasi menjadi beca elektronik atau e-Beca yang dilengkapi aksesori moden.
Transformasi beca yang pertama kali dilancarkan dalam negara itu bakal memudahkan pengayuh beca khususnya yang sudah berusia.
Dengan e-Beca, mereka tidak lagi perlu mengayuh seperti biasa dan ia lebih menjimatkan tenaga.
e-Beca turut dilengkapi paparan skrin LED, sistem audio serta kuasa bateri menggunakan sistem pengecasan solar.
Setakat ini terdapat 3 versi e-Beca yang diusahakan oleh Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM).
Istimewanya ciri-ciri e-Beca ini ia menggabungkan inovasi melibatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui iaitu solar, tak perlu kayuh, kerana ada segelintir pengguna tak sampai hati melihat pak cik-pak cik kayuh beca.
Industri beca sememangnya memerlukan transformasi kerana jika tidak ia akan pupus jika inovasi seumpama itu tidak diperkenalkan, memandangkan rata-rata pengayuh kini berumur 65 hingga 70 tahun.
Idea pelaksanaan e-Beca Terengganu tercetus daripada inisiatif kerajaan di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP6) melibatkan SME Corp sebagai pembiaya dan MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) selaku agensi pelaksana Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021.
Mengenai tambang, setakat ini belum ada ketetapan dibuat dan menekankan bahawa ciri-ciri beca seperti tambang berpatutan dan mesra pengunjung akan dikekalkan.
Sumber: BERNAMA