Zoo Taiping Ceria! Menyambut Kelahiran Kelian Si Anak Gajah

January 28, 2022 - 12:06 PM


Pembukaan tahun 2022 disambut dengan gembira di Zoo Taiping & Night Safari apabila diserikan dengan kehadiran ahli keluarga baharu, iaitu seekor anak gajah betina yang telah dilahirkan pada 1 Januari lalu.

Anak gajah yang dianggarkan seberat antara 70 kilogram (kg) hingga 80kg itu, dilahirkan oleh ibunya bernama ‘Kelian’, seekor gajah dewasa berusia 12 tahun yang juga telah dilahirkan di Zoo Taiping pada tahun 2009.

Siapa yang tak tahu bahawa Taiping juga sebenarnya memiliki Zoo tertua di Malaysia yang dibuka seawal tahun 1961. Zoo seluas 36 ekar itu menghimpunkan 1,300 haiwan daripada 180 spesies.

Zoo Taiping ini juga popular kerana menjadi zoo pertama di negara kita yang memiliki 'Night Safari'. Night Safari dibuka setiap malam dari pukul 8 hingga 11 malam.

Para pengunjung akan dibawa menaiki trem mengelilingi keseluruhan kawasan zoo untuk menyaksikan sendiri haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam dengan menggunakan lampu-lampu khas yang seakan-akan cahaya bulan.

Pengunjung juga akan diberikan sedikit penerangan oleh pemandu trem mengenai setiap spesies haiwan yang dilihat.

Selain itu, sepanjang tahun 2021, Zoo Taiping & Night Safari juga telah menerima dan menambah beberapa spesies haiwan baharu seperti nyala, zebra, eland, impala, kera hantu, golden-headed lion tamarin dan burung merak hijau.

Destination: