Terkilan Khairul Aming Berjaya Beli Tiket Coldplay, Pemuda Ini Buat Surat Terbuka
Dua hari lepas kecoh dengan gelagat rakyat Malaysia yang berebut-rebut ingin membeli tiket konsert Coldplay pada November akan datang.
Tak kurang juga ramai yang meminta konsert tersebut dibuat dua hari kerana kecewa gagal untuk mendapatkan tiket konsert ini yang terpaksa berebut dengan peminat-peminat dari negara luar.
Susulan itu, banyak kritikan dan reaksi daripada orang ramai, sebahagiannya membidas kerana kumpulan yang berasal daripada United Kingdom ini dikatakan menyokong LGBT.
Terbaharu, pemuda sebuah parti politik negara, Mohamad Kamal Mohamed dalam post terbaru di Facebook-nya menegur secara terbuka kepada influencer kesayangan ramai, Khairul Aming yang membuat posting kejayaannnya membeli tiket konsert tersebut.
Kata Kamal, tindakan Khairul Aming membeli tiket Coldplay yang bakal berlangsung pada 22 November tersebut seolah-olah menyokong gerakan LGBT.
"Saya mahu mengajak saudara untuk memikirkan kesan akibat budaya LGBT yang akan dibawa bersama ke dalam konsert Coldplay nanti. Sanggupkah saudara menjadi salah seorang penyumbang kepada sebaran budaya tidak sihat terutama kanak-kanak?
"Saya percaya di usia sekarang saudara telah matang dalam mebuat pertimbangan. Apa lagi ingin saya katakan saudara tidak sepatutnya terlibat dalam kempen secara tidak langsung begitu kerana saudara adalah ikutan ramai anak muda", tulis Kamal.
Kamal turut mendoakan kejayaan Khairul Aming dalam apa jua urusannya dan memohon beliau untuk membetulkan kesilapan yang telah dibuat yang mungkin boleh mengakibatkan kesan yang dahsyat kepada anak muda.
Pelbagai reaksi yang diterima Kamal selepas kiriman surat terbuka tersebut dibuat di Facebook beliau.