"Biar Dia Rasa Apa Anak Saya Rasa" - Ibu Zulfarhan Harap 'Bomoh' Insaf, Datang Minta Maaf
TERKINIKisah kematian sadis Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menggemparkan negara 7 tahun lalu ternyata meninggalkan kesan yang besar.
Berdasarkan kronologi, Allahyarham telah dituduh mencuri sebuah komputer riba (laptop) apabila namanya disebut oleh seorang 'bomoh' sebelum arwah dibuli dan dipukul sehingga mati.
“Saya harap bomoh itu bertaubat dan kalau boleh dia datang jumpa dengan kami buat permohonan maaf”.
Demikian luah ibu Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain iaitu Hawza Osman, 61, kepada ‘bomoh’ yang juga bapa kepada salah seorang pelaku yang menyebabkan kematian anaknya tujuh tahun lalu.
Menerusi sebuah video di Instagram, Hawa berkata, beliau akui geram dan terkilan dengan apa yang telah dilakukan oleh bomoh tersebut.
“Kalau boleh saya memang berdoa biar bomoh itu pun diberi hukuman, maknanya badan dia itu juga ada kesan tekapan seterika. Biar dia rasa bagaimana anak saya rasa,” katanya.
Sementara itu, Hawa berkata, umat islam tidak sepatutnya mengharapkan pertolongan bomoh semata-mata, sebaliknya meminta pertolongan kepada Allah SWT.