Sakit Jantung, Jangkitan Kuman Antara Punca 14 Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia
TERKINITabung Haji (TH) melaporkan enam kematian baharu dicatat dalam kalangan kuota 31,600 jemaah haji Malaysia musim ini, menjadikan 14 orang kesemuanya jemaah haji negara meninggal dunia di Tanah Suci setakat 19 Jun 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, kesemua mereka bagaimanapun sempat berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah (15 Jun 2024) dengan kebanyakannya meninggal dunia akibat sakit jantung, paru-paru berair dan jangkitan kuman pada darah.
Enam jemaah itu termasuk Bawi Solek, 79 tahun, dari Sarawak, Raksan@Hassan Matasil, 74 tahun, dari Kota Kinabalu Sabah dan Madon Mohamed, 71 tahun, dari Masai Johor.
Tiga lagi jemaah ialah Roba'ayah Yusoff, 71 tahun, dari Beruas, Perak, Syed Abu Hasan Basri Syed Ahmad, 74 tahun, dari Sauk, Perak dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54 tahun, dari Kota Baharu Kelantan.
"Kebanyakan mereka ini meninggal dunia kerana terkena serangan jantung dan mendapat jangkitan kuman pada darah," katanya.
Sementara itu, Mohd Naim memberitahu seramai 79 orang jemaah berada di Pusat Rawatan TH dan tiga berada di Klinik Kecemasan Janadriyah, manakala seramai 12 orang pesakit sedang menerima rawatan di Hospital Arab Saudi.
Katanya, kebanyakan kes-kes adalah melibatkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru disebabkan cuaca yang panas dan kering.
Tambah Mohd Na'im, kesemua jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci dikebumikan sama ada di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram atau Tanah Perkuburan Sharayaa, Mekah.
Beliay juga menjelaskan waris kepada semua Allahyarham yang berada di Malaysia sudah dimaklumkan mengenai kematian berkenaan.
Mengenai operasi haji pula, Mohd Na'im memaklumkan, daripada kuota 31,600, 58 peratus jemaah menyempurnakan Nafar Awwal (melontar jamrah pada dua daripada tiga hari tasyrik) manakala selebihnya Nafar Thani (melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik) dan pulang ke Mekah semula dari Mina pada tengah hari Rabu.
"Mereka ini, jika tidak ke Madinah, akan bersiap sedia untuk pulang ke tanah air dengan penerbangan pulang pertama dijadual pada 24 Jun ini.
"Bagi jemaah yang masih ada di sini dan juga yang akan ke Madinah, saya nasihatkan untuk terus menjaga kesihatan diri, jangan terdedah kepada cuaca panas kerana pada 11 Zulhijjah lalu, suhunya mencecah 50 darjah Celcius.
"Dan, suhu sebegini boleh menyebabkan strok haba. Ada laporan bahawa banyak kematian dicatatkan akibat strok haba ini di sini, di Tanah Suci, semasa haji," kata Mohd Na'im lagi.
Sumber: Astro Awani