Makanan 'Rare' Yang Wajib Korang Cuba Kalau Bercuti Di Kelantan

May 10, 2023 - 02:20 PM


Sebut saja makanan tradisi Kelantan mesti kita fikirkan nasi kerabu, Nasi Kak Wook serta mi celup yang dibuat segar dan kedai-kedai yang menyediakan makanan tersebut semestinya penuh dengan pelanggan.

Namun tahukah anda di Kelantan juga mempunyai puluhan malah ratusan makanan dan manisan yang sepatutnya anda cuba sekiranya menjejakkan kaki ke negeri Che Siti Wan Kembang ini.

Pasar Kubang Pasu

Kita mulakan pagi kita dengan bersarapan di Pasar Kubang Pasu yang menyediakan pelbagai makanan serta kuih-muih yang autentik dari Kelantan. Uniknya makanan di sini kerana terdapat macam-macam makanan yang tak pernah anda jumpa di negeri atau tempat lain seperti pulut pagi.

Di Kuala Lumpur selalunya kita jumpa pulut mangga je kan? Tetapi di sini terdapat pulut pagi yang dimakan bersama kacang soya rebus, sate kulit dan sate pedal serta kelapa parut. Macam sedap je kan? Memang sedap!

Di sini terdapat 'kedai pati' yang bermaksud kedai dengan bangku yang panjang untuk pelanggan duduk dan menikmati juadah mereka. 

Tapi korang kena datang sini awal tau untuk elak kehabisan makanan kerana gerai-gerai di pasat ini buka seawal 6 pagi setiap hari.

Pulau Sri Tanjung

Berganjak ke tengahari, korang disarankan untuk makan tengahari di Pulau Sri Tanjung, Tumpat dengan menaiki bot di Jeti Kuala Besar, Kota Bharu.

Di pulau ini terdapat pasar terapung seperti kelihatan di Pasar Terapung Khlong Hae, Hatyai dan yang menariknya, pengunjung juga boleh menginap di sini kerana di Pulau Sri Tanjung ini ada resort dan chalet.

Makanan di sini semuanya murah dan sedap seperti lokan bakar ‘cheese’, pelbagai jenis kerabu, air tuak dan yang paling disyorkan adalah ‘Kok-lu’ iaitu gabungan akok dan baulu.

Ini Kok-lunya, ia dilapisi oleh akok di bawah dan baulu di bahagian atas.

Pantai Cahaya Bulan

Pada waktu petang semestinya anda dan keluarga inginkan tempat yang nyaman dan Pantai Cahaya Bulan ‘lah tempatnya.

Pantai Cahaya Bulan menawarkan suasana yang nyaman dan tenang serta lambakan makanan jalanan yang dijual di sini menjadi tarikan para pelancong.

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati makanan seperti lokcing, sosej bakar, variasi makanan celup tepung, satar dan otak-otak terkenal yang dijual di situ.

Korang boleh dapatkan aneka makanan celup tepung seperti bebola ikan, variasi sosej, ikan, udang dan kerang.

Suwarin Jinda Cafe

Tak lengkap rasanya jika anda datang ke Kota Bharu tanpa mencuba makanan Thai asli dengan rasa autentik.

Lihat sajalah pelanggannya yang tak pernah berkurangan sejak dari awal pembukaannya lagi.

Suwarin Jinda menjadi tempat tumpuan ramai bukan sahaja penduduk tempatan bahkan ada yang sanggup datang dari jauh untuk makan di kedai ini.

Kedai ini menghidangkan berbagai-bagai makanan Thai seperti aneka colek, daging harimau menangis yang cukup laku di sini, makanan laut bakar yang dicicah sos Thai, Miang Pla dan pencuci mulut seperti pulut mangga dan roti sangkaya.

Tengok sajalah Miang ‘Seafood’ Suwarin Jinda ini yang semestinya akan membuatkan orang kecur liur sejurus melihatnya.

Terlalu banyak tempat makanan menarik di sekitar Kelantan ni.

Apalah maknanya jika korang datang ke Kelantan tanpa mencuba makanan-makanan asli di sini dan bak kata orang ramai, anda tak pernah berlapar jika ke Kelantan.

Jadi, jomlah kita ke Kelantan!