Misteri Red Rock Beach, Satu Lagi 'Permata Tersembunyi' Di Langkawi

TRAVEL
July 27, 2022 - 03:41 PM


Kalau sebut tentang melancong atau bercuti ke Pulau Langkawi -- pasti ramai dah pernah pergi dan mungkin ada sampai yang dah bosan asyik ke sana.

Tetapi korang mesti tak pernah tahu bahawa pulau lagenda itu sebenarnya mempunyai satu lagi 'permata tersembunyi' atau hidden gem terbaharu iaitu "Red Rock Beach"!

Red Rock Beach merupakan sebuah pantai yang mempunyai hamparan batu merah yang terbentuk daripada batuan lumpur kemerahan mengandungi fosil purba sejak 300 juta tahun dahulu. 

Ia adalah bukti bersejarah pembentukan geologi Asia Tenggara berabad lalu.

Gabungan warna-warna mempesonakan dari kemerahan batu, keputihan pasir pantai, kehijauan bukit-bukau serta kebiruan air laut mewujudkan suatu suasana percutian yang cukup mendamaikan kepada sesiapa yang berkunjung ke sini.

Ditambah pula deruan ombak dan angin bayu lembut, pasti membuatkan korang berasa teruja dan seronok untuk menerokai sendiri misteri Red Rock Beach

MISTERI RED ROCK BEACH, PULAU REBAK LANGKAWI

Bagi pengetahuan korang, Red Rock Beach ini terletak di tengah-tengah hutan hujan tropika di pesisir pantai Pulau Rebak, Langkawi.

Red Rock Beach merupakan pantai pertama yang akan ditemukan oleh setiap pelayar yang belayar dari utara Selat Melaka.  

Mempunyai status sebagai pulau persendirian dan kedudukannya yang agak terpencil -- Red Rock Beach jarang dikunjungi pelancong menyebabkan Red Rock Beach kekal privasi.

Pemandangan pulau yang luas terbentang dan tidak terhalang, cukup memikat mata dan menggamit perasaan kepada pengunjung.

Di sebalik keindahan pantai ini, terdapat juga sebuah gua semulajadi yang terbentuk disebabkan hakisan air selama beratus ribu tahun dulu yang hanya boleh diakses ketika air laut surut.

Melalui pembukaan gua, korang boleh melihat batu-batu titis kuarzit dan granit yang tertanam dalam batu lumpur menghasilkan formasi singa yang mengeras dan berwarna gelap. 

Pengunjung akan turut dapat menikmati pemandangan lautan yang luar biasa dari dalam gua.

KISAH YANG TIDAK PERNAH DICERITAKAN

Jika ke sini, apa yang korang bakal temukan di dalam gua ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

Timbunan bahan buangan yang tidak terbiodegradasi seperti botol air, beg plastik, peralatan menangkap ikan terbiar, pembungkus makanan, selipar dan lain-lain memenuhi ruang gua. 

Bahan buangan ini hanyut dari lautan dan terdampar di Red Rock Beach. 

Menyedari tanggungjawab terhadap alam sekitar, Rebak Island Resort & Marina yang terletak berhampiran dengan Red Rock Beach itu telah mengadakan kempen bagi membersihkan pantai tersebut secara berkala. 

Pengurus Rebak Island Resort & Marina, Hafiz Hashim memaklumkan pihaknya terpaksa mendaki selama 30 minit merentasi bukit untuk sampai di Red Rock Beach sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan pantai.

Lebih menarik apabila kempen berkenaan turut disertai oleh tetamu hotel dan para pelayar di Rebak Island Resort & Marina bersempena ‘Hari Lautan Sedunia'!

Ia sebagai sebuah tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan demi kelestarian alam semulajadi.

PERCUTIAN EKSKLUSIF DI REBAK ISLAND RESORT & MARINA

Sebelum ini Rebak Island Resort & Marina dikenali sebagai Vivanta Rebak Island Langkawi by Taj.

Rebak Island Resort & Marina menawarkan percutian pulau yang eksklusif dengan pantai peribadi, marina dan bilik-bilik yang dilengkapi citarasa mewah.

Tetamu boleh menikmati pemindahan bot berjadual secara percuma dan WiFi percuma di seluruh kawasan penginapan.

Resort ini menawarkan pelbagai pilihan tempat makan dan kolam renang luaran yang menghadap ke laut.

Setiap bilik dan suite diinspirasikan daripada seni bina Melayu dan dihias dengan perabot kayu serta kemudahan dalam bilik yang moden.

Balkoni peribadi ditampilkan dalam semua unit, berserta dengan pemandangan laut atau taman.

Suite-suite dilengkapi dengan ruang tempat duduk dan ruang makan yang berasingan.

Bilik mandi en suite menyediakan peralatan mandian premium.

Hidangan Asia dan kontinental dihidangkan di Senari, manakala Strait’s Grill menawarkan ruang tempat duduk luaran dan khusus dalam makanan laut segar yang baru ditangkap.

Kaunter lawatan di resort ini juga boleh membantu korang mengaturkan lawatan persiaran dan pelancongan yang terkenal di Langkawi.

Kanak-kanak boleh bermain di kelab kanak-kanak dan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak disediakan atas permintaan.

Rebak Island Resort & Marina, Langkawi terletak hanya 7 minit perjalanan dengan menaiki bot dari Jeti Pelabuhan Cenang -- manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pula berjarak 7.3 km dari jeti.

Destination: