Satu Lagi Pesawat Malaysia Airlines Tujuan Ke Seoul Terpaksa Patah Balik Ke KLIA
TRAVELSebuah lagi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) ke Seoul, Korea Selatan dipercayai mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
FlightRadar menunjukkan bahawa pesawat Malaysia Airlines MH66 berlepas dari KLIA ke Seoul pada jam 11.50 malam tadi.
Menurut penjejak penerbangan global itu, pesawat Airbus A330-323 tersebut berpatah balik dan mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 12.34 pagi tadi.
New Straits Times telah menghubungi Malaysia Airlines untuk mendapatkan komen.
Sementara itu, netizen telah menggunakan media sosial termasuk Facebook yang dikhususkan untuk penyokong Malaysia Airlines, untuk membincangkan apa yang berlaku kepada penerbangan MH66.
Dalam satu kiriman Facebook tersebut, pengguna mendakwa bahawa pesawat itu mengalami masalah hidraulik sebaik sahaja berlepas dari KLIA.
Pengguna juga menyatakan bahawa pesawat tersebut mendarat dengan selamat di lapangan terbang dan proses pendaratan berjalan dengan normal.
Seorang lagi pengguna, yang dipercayai merupakan penumpang penerbangan MH66, berkata mereka diberikan penginapan di hotel-hotel berhampiran lapangan terbang sehingga penerbangan seterusnya pada pukul 8 malam ini.
Pengguna tersebut juga memuji kapten dan krew penerbangan MH66 atas profesionalisme mereka dalam menangani situasi tersebut.
CAAM sahkan pesawat MH156 bawa jemaah umrah berpatah balik di KLIA
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat Malaysia Airlines MH156 yang dalam perjalanan ke Jeddah, berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud ketika dihubungi Bernama berkata pesawat tersebut yang membawa lebih 250 jemaah umrah, dipercayai berpatah balik disebabkan masalah teknikal.
"Pihak syarikat telah memberikan laporan awal kepada CAAM, maklumat terperinci mengenai insiden ini kena tunggu siasatan penuh.
"Ini hanya sebagai langkah berjaga-jaga disebabkan isu teknikal, mereka memutuskan untuk tidak meneruskan penerbangan," katanya.
Norazman turut mengesahkan semua anak kapal dan penumpang dalam pesawat itu berada dalam keadaan selamat.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat Malaysia Airlines yang membawa 259 jemaah daripada dua agensi untuk menunaikan umrah, terpaksa berpatah balik selepas hampir dua jam berlepas dari KLIA.
Berdasarkan maklumat dipaparkan laman web www.Flightaware.com, penerbangan MH156 itu berlepas dari KLIA pada pukul 3.13 petang dan selamat mendarat pada pukul 4.56 petang.
Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataan dikeluarkan hari ini mengesahkan penerbangan MH156 ke Jeddah berpatah balik ke Kuala Lumpur disebabkan masalah teknikal sebaik sahaja berlepas.
Kenyataan itu menjelaskan pesawat berkenaan selamat mendarat pada 4.56 petang dan semua penumpang ditempatkan di sebuah hotel dan penerbangan baharu mereka dijadualkan semula yang akan berlepas pada 9 pagi esok.
"Keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan kru kami tetap menjadi keutamaan," menurut kenyataan itu.
- BERNAMA