Apa Cerita Sebenar Di Sebalik Cadangan Sarawak Ingin Perkenal Mata Wang Sendiri?

TERKINI
September 04, 2023 - 03:24 PM


Baru-baru ini negara digemparkan dengan cadangan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang membayangkan kemungkinan Sarawak bakal memperkenalkan mata wang sendiri boleh dikatakan agak mengejutkan.

Beliau berkata, ia antara langkah yang boleh dipertimbangkan jika ekonomi kurang memberangsangkan berterusan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu meminta agar dirinya tidak dianggap sebagai pengkhianat negara kerana menyifatkan cadangan itu sebagai satu perkara yang perlu diambil serius.

“Saya berharap orang ramai tidak menggelar saya pengkhianat negara, tetapi saya bercakap dengan serius.

“Jika kita begitu baik dalam membangunkan ekonomi, secara pengiraan ekonomi negara sepatutnya kukuh,”
katanya ketika siaran podcast khas dengan Bual Studio dan Reka Sound untuk Merdeka serta Hari Malaysia bertajuk 'Dari Malaya ke Malaysia: 60 Tahun'.



Nanta berpandangan, cadangan tersebut dikemukakan kerana pendapatan keseluruhan termasuk ekonomi Sarawak meningkat -- namun perlu dianalisis dengan lebih terperinci mengenai tahap kehidupan rakyat sebelum melaksanakannya.

Tambah beliau, sekiranya ekonomi di bumi kenyalang itu lebih baik berbanding negeri yang lain, maka mata wang Sarawak perlu diperkenalkan.

“Jika Sarawak lebih baik daripada yang lain, kenapa tidak (perkenalkan mata wang sendiri)? Ini yang saya cuba tekankan. Bagaimanapun, apabila meneliti pendapatan per kapita, ternyata masih terdapat kawasan di mana rakyat terus mengalami kemiskinan," ujarnya.



Menerusi ciapan di Twitter (kini dikenali sebagai X) pada 1 Julai lalu -- Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi memaklumkan, Sarawak kini menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi kerana Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapitanya melebihi AS$13,205 (RM61,608).

Dalam pada itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak ketika ini tidak berhasrat untuk memperkenalkan mata wang sendiri, sebaliknya kekal menggunakan ringgit.



Menurutnya, kajian mendalam perlu dilaksanakan sebelum membuat sebarang ketetapan termasuk cadangan untuk memperkenalkan mata wang buat negeri itu.

“Isu ini yang agak susah untuk dijelaskan, saya tidak tahu mengenai pandangan Nanta,” ujar beliau.

Walaupun Abang Johari telah menjernihkan kembali keadaan dengan mengeluarkan kenyataan balas --namun ia sedikit sebanyak telah menimbulkan persoalan adakah perkara tersebut mungkin dibincangkan oleh pemimpin-pemimpin negeri Sarawak?

Adakah ia merupakan petanda daripada kepimpinan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan yang pada ketika ini masih belum dapat menurunkan nilai ringgit?



Hal ini kerana menurut laporan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 11 Mei lalu -- Abang Johari menjelaskan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Sarawak meningkat daripada RM55,931 pada 2020 kepada RM65,971 pada 2021.

Tambahnya, peningkatan itu melepasi KDNK per kapita negara pada RM47,539 sekarang dan Sarawak kini berada di landasan yang betul kerana ia satu petunjuk untuk mencapai kemajuan yang lebih pesat buat negeri tersebut.

Tegas beliau, Sarawak menyasarkan gandaan KDNK negeri daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 pada 2030 -- selain mahu mewujudkan ratusan ribu peluang pekerjaan tambahan dalam masa yang sama.

Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, Sarawak antara yang paling stabil dari segi kedudukan politik berbanding negeri lain.

Sumber: Sinar Harian

Destination: