Arab Saudi Benarkan Jemaah Buat Umrah Sambil Melancong, Tanpa Perlu Tukar Visa!

TERKINI
July 19, 2019 - 06:08 PM


Ini berita baik kepada sesiapa yang bakal mengerjakan umrah ke Mekah dan Madinah, namun pada masa sama ingin sambung berjalan-jalan atau melancong ke seluruh negara Arab Saudi.

Memetik laporan Arab News, pada Selasa lepas, Kabinet Saudi telah sepakat memberi kebebasan kepada jutaan jemaah Umrah dari seluruh dunia untuk melawat ke pelosok Arab Saudi sepanjang mereka berada di negara itu.

Keputusan tersebut dibuat sebagai sebahagian pelan untuk meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi Arab Saudi.

“Kabinet memutuskan untuk memansuhkan larangan ke atas jemaah Umrah melawat tempat lain selain Makkah, Madinah dan Jeddah. Perintah diraja sedang dipersiapkan bagi ia berkuat kuasa,” kata Ketua Perancangan dan Pegawai Strategi Kementerian Haji dan Umrah, Dr Amr Al-Maddah.

Sebelum ini, jemaah Umrah hanya dibenarkan melancong selepas menukar visa mereka menjadi visa pelancong dengan syarat mereka didaftarkan dengan program pelancongan.

Namun dengan keputusan terbaharu itu, penukaran visa tidak lagi perlu dilakukan. 

Hampir 8 juta umat Islam menunaikan Umrah tahun ini dan usaha Kabinet Saudi itu akan membolehkan pelancong Umrah bergerak lebih bebas di Arab Saudi dengan melawat mercu tanda utama, tapak bersejarah, tarikan pelancongan dan pusat beli-belah.

Malah, langkah itu juga diharap dapat membantu Arab Saudi dalam mencapat matlamat untuk menerima 30 juta jemaah Umrah menjelang 2030. 

Bahkan selepas ini, jemaah juga dibenarkan untuk tiba di mana-mana pelabuhan Arab Saudi supaya memudahkan ketibaan mereka dan meluaskan kapasiti negara itu dalam menerima lebih ramai pengunjung.

P/S: Alhamdulillah, makin seronoklah lepas ni para jemaah boleh beribadat sambil melancong!

Sumber: Arab News