Hanya Kerana Menegur Kerajaan Arab Saudi Tentang Hiburan Melampau, Bekas Imam Masjidil Haram Dihumban Ke Penjara 10 Tahun!

TERKINI
August 30, 2022 - 12:10 PM


Hanya gara-gara menegur Kerajaan Arab Saudi mengenai tanggungjawab mengawal selia industri hiburan di negara Islam itu -- seorang bekas Imam Masjidil Haram dipenjara 10 tahun!

Menurut laporan media, Mahkamah Rayuan Jenayah Khas di Riyadh membatalkan pembebasan Sheikh Saleh Mohammed al-Talib -- sekali gus hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan terhadapnya dikekalkan.

Sheikh Saleh ditahan pada 2018 selepas menyampaikan khutbah yang mengkritik Pihak Berkuasa Hiburan Umum iaitu badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia industri hiburan di Arab Saudi.

Bekas imam itu didakwa mengecam konsert dan acara keramaian yang menyimpang daripada ajaran agama serta norma budaya Arab Saudi.

Kumpulan Hak Asasi berpangkalan di Amerika Syarikat, Democracy for The Arab World Now (Dawn) mendedahkan, beliau ditahan tanpa sebarang alasan selepas menyampaikan khutbah tersebut, empat tahun lalu.

Hukuman penjara ke atas Sheikh Saleh disahkan Dawn, kumpulan yang diasaskan wartawan Jamal Khashoggi yang mati dibunuh, melalui ciapan Twitter.

Jurucakap Dawn, Abdullah Alaoudh mengecam hukuman penjara lantaran keberanian beliau bersuara menentang pembaharuan yang dilakukan di Arab Saudi.

“Mereka ditangkap hanya kerana menyatakan pendapat secara aman. Penindasan ini perlu dihentikan terhadap semua orang tanpa pengecualian,” katanya.

Penahanan itu dilakukan ketika Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman meneruskan usaha mereformasi masyarakat Arab Saudi dengan menahan berpuluh-puluh ulama dan imam terkemuka yang mengkiritk agenda pembaharuan.

Antara ulama lain yang pernah ditahan ialah Salman al-Odah yang menyeru rakyat Arab Saudi mendamaikan perbezaan dengan Qatar selepas Riyadh mengetuai sekatan ke atas negara teluk itu.

Sumber: Utusan Malaysia

Destination: