"Ingatkan Dah Hantar Ke Taska" - Bayi Doktor Maut Tertinggal Dalam Kereta 10 Jam!
TERKINISeorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas 10 jam ditinggalkan di dalam kereta oleh ibunya di tempat letak kereta di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, ibu mangsa yang juga seorang doktor tiba di hospital itu untuk bekerja dan tidak menyedari dia meninggalkan kanak-kanak itu, sehingga pukul 5.30 petang.
"Wanita berkenaan menerima panggil telefon daripada suaminya jam 5.30 petang menyatakan anaknya tiada di taska dan selepas diperiksa sekali lagi oleh suaminya, wanita itu terus pergi ke tempat letak kenderaan iaitu lokasi keretanya diletakkan.
"Dia mendapati anaknya berada di kerusi bayi bahagian belakang dalam keadaan tidak bermaya lantas mengeluarkan mangsa untuk memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke wad kecemasan untuk rawatan lanjut," katanya.
Sumber itu menambah, hasil rakaman percakapan bapa mangsa pula mendapati, dia telah datang ke taska dan mendapati mangsa tiada di situ.
Jelasnya, bapa mangsa telah menghubungi isterinya dan memaklumkan anaknya tiada di taska serta meminta isterinya pergi ke tempat letak kereta.
"Ketika bapa mangsa tiba di lokasi parkir kereta, dia mendapati isterinya sedang memberikan CPR kepada anaknya dan meminta isterinya membawa mangsa ke wad kecemasan untuk tindakan lanjut pada 5.35 petang," ujarnya.
Sumber itu berkata, bantuan pernafasan telah dilakukan selama enam minit tetapi mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan tanda-tanda hayat.
"Bayi itu telah disahkan meninggal dunia dan bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian," katanya.
Sumber itu memberitahu siasatan awal mendapati berlaku kecuaian dalam kes tersebut.
Sehubungan itu, kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Astro Awani