Jika Tiada Alasan Kukuh, Elak Bercuti Ke Al-Ula : Pakar

TERKINI
September 11, 2023 - 12:36 PM


Kebelakangan ini timbul kekecohan dalam media sosial mengenai satu tempat yang dikatakan dilaknat oleh Allah iaitu Kota Al Ula.

Ia bermula apabila ada pencipta kandungan atau content creator menziarahi lokasi tersebut dan menunjukkan keindahan alam semula jadi di sana.

Rata-rata kita tidak menge­tahui tentang kewujudan kota tersebut dan sejarah yang terkandung sehingga dianggap sebagai kawasan dilaknat Allah.

Wujud kekeliruan apabila ada pihak yang mengatakan tidak boleh melawat Al Ula -- tetapi ada segelintir pihak pula berpendapat lokasi tersebut masih boleh dikunjungi orang ramai.

PENJELASAN PAKAR MENGENAI BANDAR AL-ULA

Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang juga mutawwif, Dr. Bashasunnahar Puasa berkata -- bandar Al Ula mempunyai sejarah dan warisan budaya yang besar.

“Salah satu tarikan utama kota itu adalah laman bersejarah (Madain Saleh) yang telah diktiraf sebagai laman warisan dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Al Ula juga terkenal dengan keindahan alam gurun yang menakjubkan serta formasi geologi unik seperti The Elephant Rock dan pelbagai laman alam semula­jadi yang memukau.

“Bandar ini semakin dikenali sebagai destinasi pelanco­ngan yang menarik dan kerajaan Arab Saudi juga mengambil pelbagai inisiatif untuk mempromosikan pelancongan ke wilayah ini dan menjaga warisan sejarah serta budayanya yang berharga,” katanya.

APAKAH HUKUM PERGI KE AL-ULA?

Berbalik kepada kekeliruan sama ada kota tersebut boleh di­lawati atau sebaliknya, Bashasunnahar memberitahu -- hukumnya adalah bergantung ke­pada tujuan dan niat asal seseorang individu itu menziarahi kawasan tersebut.

“Secara umumnya, ada beberapa pandangan berbeza dalam Islam tentang melawat tempat-tempat tertentu. Jika seseorang itu datang dengan niat baik seperti untuk memahami sejarah atau mempelajari budaya, mungkin dianggap harus.

“Namun, jika seseorang ingin bersuka ria di tempat yang pernah dilaknat, hukumnya haram.

“Terdapat hadis bahawa ba­ginda Rasulullah untuk mempercepatkan langkah ketika melalui kawasan yang pernah dilaknat Allah. Kita sebagai umat Islam perlu mencontohi apa yang dilakukan oleh junjungan mulia,” tambahnya.

HUKUM MELAWAT KOTA TERKUTUK TURUT DIKUATKAN DALAM HADIS

Pensyarah itu turut menjelaskan bahawa terdapat hadis lain berkenaan Kota Al Ula untuk menguatkan lagi kenyataan terhadap hukum melawati wilayah tersebut.

Dalam hadis lain, Rasulul­lah mengarahkan para sahabatnya membuang atau memberi makanan kepada unta semua gandum yang sudah diuli menggunakan air dari kawasan berkenaan dan melarang sahabat untuk meminumnya serta segera ­beredar.

“Maka dengan itu, jika kita melalui kawasan yang pernah dilaknat Allah, kita perlu segera beredar, atau sekiranya mahu mengambil pengajaran, mena­ngis dan gementarlah dengan azab Allah,” ujarnya.

Kesimpulannya, jika tiada niat yang kukuh untuk melawat kawasan tersebut, seboleh-boleh­nya elak sepertimana junjungan nabi kita lakukan.

Sekiranya sudah tiba di sana, menangislah untuk mengenang kembali umat-umat terdahulu yang dilaknat oleh Allah.

Sumber: Kosmo

Destination: