Kelibat Buaya Muncul Di Sungai Kuantan, Dah Macam Buaya Kat Zoo Dah

TERKINI
November 29, 2022 - 05:15 PM


Kelibat buaya di Sungai Kuantan berdekatan Medan Warisan di Tanah Putih, Kuantan, bukanlah perkara luar biasa memandangkan sungai berkenaan pernah menjadi habitat reptilia berkenaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada orang awam mengenai kelibat sang bedal.

Katanya, berdasarkan maklumat dan semakan yang dibuat, reptilia itu sering kelihatan di sungai berkenaan namun tidak pernah menimbulkan ancaman kepada manusia.

“Kehadiran buaya di tebing sungai adalah sesuatu yang biasa namun setakat ini kita tidak pernah lagi menerima aduan berkenaan kes serangan buaya.

“Cuma saya mahu menasihati orang ramai terutamanya kaki pancing supaya tidak mengganggu buaya berkenaan apabila terserempak dengannya,” katanya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang awam supaya berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di sungai berkenaan dan jangan bertindak sesuka hati dan mengancam buaya apabila terlihat reptilia itu.