Menjelang 2021, Kolam Air Panas Gadek Bertukar Wajah Menjadi "Gadek Wellness & Spa Resort"!

September 06, 2019 - 06:26 PM


Melaka mempunyai sebuah produk pelancongan yang terkenal dalam kalangan pengunjung tempatan dan luar negara iaitu Kolam Air Panas Gadek yang terletak di Alor Gajah atau kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Melaka.

Air panas semulajadi yang mengandungi kandungan sulfurik dengan suhu 56 darjah celcius itu dipercayai boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dan tidak hairanlah ia menjadi destinasi yang sering dikunjungi orang ramai.

Ini ada satu berita gembira untuk para pengunjung setia kolam air panas 24 jam tersebut.

Kolam Air Panas Gadek bakal dinaik taraf dan dijenamakan semula sebagai 'Gadek Wellness & Spa Resort' dan dijangka siap sepenuhnya menjelang awal tahun 2021.

Projek pembangunan pusat pelancongan yang menelan kos sebanyak RM17 juta itu juga bakal dilengkapi dengan sebuah hotel yang mempunyai 25 unit bilik, selain chalet yang dilengkapi dengan kolam air panas persendirian, kolam air sejuk, bilik rawatan tradisional dan pelbagai kemudahan lain.

Dengan penjenamaan semula Gadek Wellness & Spa Resort itu diharap ia bakal menjadi ikon pelancongan Alor Gajah yang boleh menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke kawasan luar bandar itu serta sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Sumber: Bernama



 

Destination: