PRU15: Pas Umum PN Menang Bentuk Kerajaan

TERKINI
November 19, 2022 - 11:56 PM


PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan gabungan politik itu telah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PN yakin telah berjaya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan berdasarkan keputusan awal yang diperoleh pihaknya malam ini.

“Saya mewakili kepimpinan parti mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang memberi kepercayaan kepada Pas dan PN untuk mentadbir negara sekali lagi.

“Kami akan berusaha sedaya upaya melaksanakan tawaran-tawaran yang telah dijanjikan. Insya-Allah kami akan bincang dengan rakan-rakan PN dalam membentuk Kabinet dan kerajaan yang kita terajui,” katanya pada satu sidang media malam ini. – KOSMO! ONLINE

Igauan buruk benar-benar terjadi – Annuar

Bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meluahkan rasa dukacita dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) malam ini.

Biarpun keputusan rasmi bagi keseluruhan Parlimen belum diumumkan beliau menggambarkan bahawa Barisan Nasional (BN) sudah tewas pada PRU kali ini.

“Akhirnya igauan buruk yang saya gambarkan selama ini dan minta dielakkan benar-benar terjadi. Dukacita teramat sangat.

“Perpecahan menjadikan kamu lemah dan hilang kekuatan. Kami anjurkan muafakat, kami dilabel tidak setia.

“Kami minta jangan berpecah, kami yang menerima padah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau tadi.

Susulan itu, Annuar meminta pucuk pimpinan parti menjelaskan ke mana hala tuju selepas PRU15 ini.

“Kini, ke mana kita nak dibawa? Mahu menjalin jajaran yang kita tolak? Mahu melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO dan parti sekali lagi?

“Undurlah, cukuplah kebinasaan ini dan dengar suara rakyat serta fahami kehendak rakyat. Jangan sombong,” katanya. – KOSMO! ONLINE