"Saya Tengah Berusaha Untuk Selamatkan Keluarga Saya" - Farid Kamil Tetap Tidak Mahu Bercerai
TERKINIBahtera mahligai yang telah dibina sejak 11 tahun lalu, masih utuh untuk dipertahankan. Pelakon Farid Kamil, tetap dengan pendiriannya untuk mempertahankan rumah tangga bersama isterinya, Diana Danielle demi dua cahaya mata mereka iaitu Muhammad dan Nur Aurora.
"Saya gembira dapat bertemu dengan isteri hari ini. Apa yang boleh saya katakan, saya sedang berusaha menyelamatkan keluarga saya.
"Saya dalam proses memikirkan jalan terbaik untuk mencapai jalan perdamaian. Memberi anak-anak ibu bapa mereka semula dan menjalani hidup normal seperti sedia kala.
"Selama 11 tahun kami mengharungi pelbagai rintangan, jadi masih ada harapan. Jadi, saya letakkan harapan kepada Allah SWT supaya dapat kembali seperti biasa, suatu hari nanti.
"Saya tak pernah berhenti berusaha mencari isteri dan anak-anak di mana berada. Tetapi, banyak kekangan, apatah lagi saya sibuk dengan kerjaya pada Ramadan ini," katanya kepada BH Online.
Farid berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, bagi sebutan kali pertama kes hadanah dua anaknya.