Bawa Pen Sendiri Untuk Daftar Masuk Kedai Atau Imbas Kod QR Mulai 1 Jun Ini

TERKINI
May 29, 2020 - 12:37 PM


Ketika ini negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mana orang ramai diberi sedikit kelonggaran untuk berurusan di kedai makan dan premis perniagaan.

Namun timbul kebimbangan apabila mereka diwajibkan untuk mengisi butiran peribadi seperti nama, nombor telefon dan suhu badan dengan menggunakan batang pen sama yang dikongsi individu berbeza, sekaligus meningkatkan risiko jangkitan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Kerajaan bermula 1 Jun ini bakal melaksanakan sistem imbasan kod QR menggunakan telefon pintar masing-masing, tanpa perlu lagi menulis butiran diri menggunakan pen yang dikongsi.

Mengulas hal itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya kini sedang mencari jalan untuk menambah baik kaedah tersebut.

"Kita sedang mencari penyelesaian bagaimana untuk memperbaiki kualiti perlindungan pelanggan. Bermula 1 Jun kita akan laksanakan Imbasan QR (QR Code).

"Tiada lagi penggunaan pen untuk tulis nama dan alamat. Lebih penting, kalau tiada QR code... semua orang dinasihatkan bawa pen sendiri.

"Saya juga pernah berkunjung ke kedai sebelum ini, ada kakitangan mereka sendiri yang tuliskan nama, bukan kita. Jika perlu tulis, perlu guna cecair pembasmi kuman pada tangan dan pen," ujarnya.

Tambahnya, itu merupakan saranan terbaik seandainya keadaan memaksa seseorang pelanggan untuk menggunakan pen milik premis perniagaan untuk menulis nama mereka sendiri.

Namun katanya, jauh lebih baik jika orang ramai boleh mengamalkan normal baharu dengan membawa pen sendiri untuk mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata aplikasi MySejahtera sehingga kini sudah dimuat turun oleh 752,711 pengguna.

"Kita galakkan lebih ramai untuk muat turun supaya boleh guna pakai untuk dapat maklumat terkini.

"Mulai 1 Jun akan guna QR code untuk imbas dan sebagainya. Jadi kita akan tambah baik MySejahtera dari masa ke semasa," katanya.

Sumber: Mstar