
Oasis Home Meterai Perjanjian Taja Jamin Bersama MIDF Investment Menjelang IPO Di Pasaran ACE
TERKINIKUALA LUMPUR 27 Mac - Pengedar dan peruncit peralatan dapur serta produk isi rumah, Oasis Home Holding Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.
Kumpulan itu menyasarkan untuk disenaralkan di Pasaran ACE pada Mei 2025.
IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 100 juta saham baharu mewakili kira-kira 20% daripada sahamnya yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan 50 juta saham sedia ada atau 10% daripada saham yang diperbesarkan.
Daripada 100.0 juta saham terbitan itu, 25 juta saham akan disediakan kepada orrang awam Malaysia melalui undian, 10 juta saham kepada pengarah dan pekerjanya yang layak mmanakala 62.5 juta saham disediakan oleh Kementerian Perdagangan dan Pelaburan swasta melalui Kementerian Perdagangan (MITI).
Baki 2.5 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Menerusi perjanjian itu, MIDF Investment akan menaja jamin sejumlah 35 juta saham yang diperuntukkan menerusi borang merah jambu.
Ketua Pegawai Eksekutif Oasis Home, Datuk Teoh Yee Seang berkata, penyenaraian itu bukan sahaja akan meningkatkan kehadiran pasaran kumpulan untuk mendapatkan pelanggan baharu, tetapi juga mengukuhkan keyakinan terhadap jenama mereka dalam kalangan pelanggan.
Beliau berkata, penyenaraian itu adalah tepat pada masanya memandangkan kebolehcapaian pengguna kepada saluran jualan dalam talian terus bertambah baik selain kuasa perbelanjaan yang semakin meningkat.
"Selain itu, saluran perdagangan langsung bersedia untuk pertumbuhan, disokong oleh penembusan jalur lebar tetap dan mudah alih yang lebih tinggi, peningkatan penggunaan peranti mudah alih, kebolehcapaian pembayaran digital dan infrastruktur logistik yang dipertingkatkan."
"Bagi memanfaatkan peluang pasaran ini, kami komited untuk meluaskan jangkauan pasaran kami dengan mewujudkan lebih banyak saluran jualan perdagangan langsung, terus mengembangkan produk gaya hidup pengguna kami dan mengukuhkan saluran jualan kami yang sedia ada," katanya.
Kumpulan itu menggunakan strategi pemasaran dalam talian ke luar talian dengan memasarkan dan menjual produknya, termasuk pusat pengalaman produknya yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor, serta bilik pameran mudah alih, untuk melengkapkan saluran jualan dalam taliannya.
Pendekatan kepelbagaian ini memastikan akses pengguna yang lancar merentasi pelbagai titik sentuh runcit.
MIDF Investment merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.