15 Tempat Makan Yang Menarik Di Perlis Untuk Tahun 2024

FOODIE
December 18, 2023 - 03:10 PM


Memandangkan tahun 2024 merupakan tahun melawat negeri Perlis, mesti ramai yang akan bercuti ke sana, kan? Buat mereka yang tak tahu, banyak tau tempat-tempat makanan yang menarik di Perlis. Haaa, jangan pandang Perlis sebelah mata! 

Dekat Perlis, macam-macam jenis masakan yang korang boleh jumpa. Nak makanan Melayu ada, Western ada, Masakan Thai ada dan lain-lain lagi lah! Jadi, bagi mereka yang dah plan nak pergi bercuti dekat Perlis tu toksah risau pasal makanan sebab Min nak bagitahu hangpa tempat makan yang best dekat Perlis!

Ini dia 15 Port Makan yang menarik di Perlis untuk tahun 2024!

 

1. Umar Seafood & Grill

Dalam banyak-banyak restoran makanan laut di Kuala Perlis, Restoran Umar Seafood And Grill yang terletak di Kampung Seberang Ramai antara yang menarik perhatian kerana bukan hanya menunya sahaja sebaliknya ia turut menawarkan perkhidmatan bot ronda bagi melihat keindahan kawasan berkenaan. 

Kalau datang sini, korang tak payah risau sebab ada pelbagai kemudahan yang disediakan seperti parkir yang luas, kawasan untuk kanak-kanak bermain dan tandas. Ruang untuk makan pula sangat selesa dan korang boleh enjoy makanan dengan melihat pemandangan laut yang indah.

Makanan laut yang disediakan besar-besar dan fresh tau. Antara menu yang perlu korang cuba semestinya udang lipan, udang butter, ketam kam heong, ayam buttermilk, udang sambal dan sebagainya. Tak lupa juga menu istimewa siput sedut kari hijau, kerabu mangga ayam, ikan bakar dan enoki goreng. Makan bersama nasi panas confirm bertambah!

Gambar: FB Umar Seafood & Grill

 

2. Warung Tepi Sawah 

Kalau nak cari tempat makan yang best untuk sarapan, Warung Tepi Sawah adalah tempat yang terbaik. Dekat sini, korang boleh menikmati sarapan sambil bertemankan pemandangan sawah padi yang cukup nyaman.

Menu sarapan di sini berasaskan selera tempatan. Pek nga merupakan antara menu yang laku keras. Rugi tau jika anda singgah ke Perlis tetapi tidak mencuba menu pek nga mereka. Selain daripada itu, hidangan sarapan lain sepeti pulut ikan masin, nasi lemak dan roti gedit juga merupakan antara menu yang sedap. Bukan itu sahaja, harga pun berpatutan tau! 

Gambar: FB Tourism Malaysia

 

4. Restoran Anjung Keli

Untuk makanan tengah hari pula, korang boleh datang Restoran Anjung Keli sebab tempat ini memang famous untuk makan tengah hari. Siap pernah masuk TV lagi. 

Ada macam-macam lauk yang korang boleh pilih tapi kalau nak try yang paling sedap, ambil lauk sambal keli. Sesuai dengan nama restoran, so memang confirm akan puas hati punya sebab ramai yang kata sedap. Selain lauk keli, masakan-masakan lauk tradisional Melayu asli yang lain pun sedap. Keunikan lain yang ada di restoran ini adalah menyediakan lebih 12 jenis sambal dan air asam serta berpuluh jenis ulam-ulaman. Geng masakan kampung confirm happy punya!

Restoran ini memang famous tapi korang jangan risau sebab tempat parking yang disediakan memang luas dan diaorang siap pasang khemah lagi kalau ramai sangat pelanggan. 

Gambar: FB Gaya Travel Magazine

 

5. Chortiez & Co

Haa, kalau ada yang mengidam nak makan makanan western ketika jalan-jalan dekat Perlis, inilah tempatnya. Chortiez & Co bukan sahaja menyajikan masakan barat yang enak, tetapi juga unik.

Restoran ini terkenal dengan hidangan berat seperti stik dan burger. Menu unik yang boleh didapati di sini ialah Burger Tengkolok. Yang membuatkan Tengkolok Beef Cheese Burger atau lebih dikenali dengan Burger Tengkolok ini istimewa ialah dagingnya yang unik.

Kalau korang nak tahu, daging burger ini ialah buatan sendiri dan bukan diproses! Keju mozzarella yang ditambah dalam burger ini sebenarnya disumbat ke dalam daging kisar itu dahulu dan kemudiannya baru dipanggang. Confirm kenyang punya perut korang.

Gambar: FB Chortiez & Co

 

6. Aida Station

Port makanan Thai yang sedapppp dekat Perlis. Yang menariknya adalah presentation dalam menghidang makanan kepada pelanggan. Nampak cantik dan tersusun je di atas meja.

Ruang kedai ini agak besar, boleh duduk outdoor, indoor atau dekat pondok yang disediakan. Menu yang best bila bercakap soal makanan Thai ni tak lain tak bukan tomyam. Masakan tomyam seafood kedai ini antara yang popular sebab kuah yang pekat dan creamy. 

Bukan tomyam sahaja, masakan-masakan Thai yang lain pun sedap tau lagi-lagi masakan siakap steam. Restoran ini memang dah ada pelanggan regular yang selalu repeat, lagi-lagi pelajar-pelajar dekat politeknik yang berdekatan. Kiranya, tempat ini memang menjadi pilihan student di sana. Jadi, kalau dah menjadi pilihan student dekat sana, confirmlah sedappp!

Gambar: FB Mya Zana Hamid

 

7. Selera D'bendang Senja

Tahu tak ada kedai yang jual semua makanan dengan harga RM2? WHATTTT? 2 hengget? Mesti ramai yang terkejut kan? Tapi memang wujud ya. Ramai dah yang buat review untuk kedai ini so memang valid yang semua menu makanan dekat kedai ini berharga RM2. 

Macam-macam menu yang ada tau. Ada mee, bihun, laksa, nasi ayam, nasi daging, kerabu maggi, kerabu seafood, somtam, pekasam, milo kepal, abc dan lain-lain lagilah! So untuk yang nak jaga bajet ketika bercuti, bolehlah singgah ke kedai ini yang bertempat di simpang empat, Perlis.

Gambar: FB Selera D'bendang Senja

 

8. Warong Western RM1.90

Kalau tadi kedai makan jual RM2, kedai ini pula jual makanan dengan harga paling murah tau. Di Warong Western, korang boleh dapatkan makanan barat yang sedap dengan harga yang sangat rahmah. Warong Western yang terletak di Arau, Perlis ini mungkin menjadi satu-satunya restoran di Malaysia yang menawarkan hidangan Barat pada harga semurah RM1.90.

Bayangkan korang dapat makan Chicken Chop, Chicken Grill, Kulit Ayam Crispy Kriukk Krapp dan Chicken Finger dengan harga serendah RM1.90 sahaja! Memang best, kan? Selain daripada itu, ada juga menu lain yang berbeza harga, tetapi… MASIH MURAH!  Antara menu lain itu adalah Fish & Chip + Lemon (RM5.90), Chicken Spicy Korea (RM3.90), Burger Daging (RM2.00) dan lain-lain.

Lamb Chop, Cheezy Chicken Chop Leleh dan Ramen Spicy Korea juga ada dan korang boleh dapat dengan harga RM6.90. Murah dan berbaloi, kan? Apa lagi? Jangan lupa bawak seluruh keluarga atau rakan-rakan karib!

Gambar: FB Warong Western RM1.90

 

9. Bann Thai Perlis

Kedai Bann Thai ini antara kedai yang famous dekat Perlis tau. Sebab apa? Kedai ini menawarkan makanan ala-ala Thai yang padu dan sedap. Siap ada pelanggan yang cakap kalau makan dekat kedai ini, umpama macam betul-betul makan dekat Thailand.

Satu hal yang best dekat kedai ini adalah korang boleh enjoy pemandangan sawah padi yang cantik. Confirm rasa tenang je layan view sambil makan makanan yang sedap.

Antara menu menarik yang korang kena cuba adalah Miang Thale. Dia punya seafood memang fresh dan sedap, lagi-lagi bila makan dan cicah dengan sos. Satu lagi menu yang laku keras adalah set sengkak dengan harga yang sangat berpatutan.

Gambar: FB Perlis Aktif

 

10. Loiter Foodcourt

Kalau korang tak tahu nak pergi mana time jalan-jalan dekat Perlis, korang patut singgah Loiter Foodcourt. Macam-macam jenis makanan dan minuman ada. Tinggal fikir dan pilih sahaja.

Nak steamboat, ada. Masakan panas pun ada. Nak lepak sambil makan sate pun ada juga tau. Masakan Western, Thai dan Mamak pun ada. Nikmat dunia apa lagi yang korang nak dustakan? 

Yang penting adalah environment foodcourt ini. Besar dan luas tau. Sesuai kalau nak berkumpul ramai-ramai sama ada dengan family atau kawan-kawan.

Gambar: Loiter Foodcourt

 

11. Oven Rimba Café

Haa, dekat Perlis pun ada cafe hipster! Kalau korang teringin nak makan di kafe yang estetik, singgahlah ke Oven Rimba Café!

Antara menu yang menjadi kegemaran ramai di sini adalah Wanpaku Sandwich, Buttermilk Chicken dan Blueberry Cheesecake yang super sedap! Memang best kalau pekena sekali dengan kopi!

Kafe ini juga terkenal dengan pilihan kek popular. Ruang dalaman yang dihiasi dengan indah menjadi daya tarikan utama untuk para penggemar media sosial. Boleh ambil banyak gambar cantik!

Gambar: Ezreen Muhaizie Marzukhi

 

12. Restoran Nelayan

Restoran Nelayan adalah kedai makan yang pencinta makanan laut perlu pergi. Makanan seafood mereka memang fresh tauu. Ramai juga yang cakap laksa dan pasembur di sini sedap.

Selain itu, korang juga boleh nikmati pelbagai juadah makanan laut yang segar dan sedap seperti sotong goreng tepung, ketam goreng tepung dan pelbagai jenis ikan bakar. Memang best makan tengah hari atau makan malam di sini!

Bukan setakat dapat makan seafood yang sedap-sedap je, korang pun boleh menikmati suasana santai di tepi pantai yang menawan.

Gambar: FB Knewbii Kaki Cuti

 

13. Dunia Yong Tau Foo Jalanan

Kedai ini dekat saja dengan Restoran Anjung Keli. Ia menyediakan hidangan tempatan dan barat. Namun, keistimewaan dan pilihan para pelanggan pastinya yong tau foo.

Apa yang menariknya adalah mereka sendiri yang buat kuah/sup tau dengan rempah-rempah yang confirm buat lidah korang happy. Selain itu, pencuci mulut seperti Air Batu Campur dan Laicikang pun ada. Lepas tu, ada sate juga tau. 

Suasana yang santai dan aman menjadikan restoran ini amat sesuai untuk melepak atau berehat bersama ahli keluarga atau rakan-rakan.

Gambar: FB Dunia Yong Tau Foo Jalanan

 

14. Speedline Bistro

Kalau koranag nak tahu, kedai inilah yang dikatakan sebagai lubuk makan lobster dan King Crab yang paling padu di Perlis. Cuba korang tengok saiz lobster diaorang, besar tau, gerenti puas hati!

Selain itu, ramai juga yang turut recommend untuk cuba menu lain yang confirm sedap seperti Seafood Platter dan Grill Chicken with Butter Rice dan pelbagai jenis hidangan Western. Kopi di sini juga dikatakan cukup padu dan kaw!

Gambar: FB Speedline Bistro Kangar

 

15. Nipah Klasik

Ini dia salah satu port makan yang unik dekat Perlis. Nak tahu kenapa unik? Sebab lokasi restoran Nipah Klasik ini memang betul-betul dikelilingi pokok nipah. Pengunjung yang makan di sini confirm akan menikmati suasana redup ditutupi pokok nipah bersama pemandangan beberapa landskap indah antaranya seperti replika Telaga Bunga Emas.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai hidangan di restoran termasuk sup seperti sup bihun, hidangan panas, laksa, mi rebus, nasi ayam dan banyak lagi. Menu yang ditawarkan mempunyai pelbagai pilihan untuk pengalaman makan yang memuaskan.

Yang menjadi perhatian adalah pengunjung boleh merasai pengalaman menaiki bot pedal tangan. Hanya RM10 sahaja bayaran yang dikenakan untuk menerokai kawasan hutan nipah itu selama 20 minit.

Disini juga mereka menyediakan makanan ringan seperti Cheesy Wedges, Ais Batu Campur dan paling menarik adalah air nira dari pokok nipah, kalau datang sini wajib cuba!

Gambar: FB Nipah Klasik

 

P/s: Amacam? Menarik kan? Jangan lupa pergi tempat-tempat yang Min senarai ini dengan kawan-kawan atau family nanti!

Destination: