"Hentikan Jualan Aiskrim Campur Ubat Batuk, Pei Pa Koa" – KKM

FOODIE
July 31, 2024 - 11:30 AM


Sebelum ini, tular tentang aiskrim terbaru oleh rangkaian aiskrim popular, Inside Scoop yang memperkenalkan perisa terbaru dikenali sebagai Pei Pa Koa iaitu gabungan rasa vanila dan juga Ubat Cap Ibu Dan Anak.

Hal tersebut telah menarik perhatian ramai pengguna media sosial sehingga menimbulkan pertanyaan tentang rasa aiskrim tersebut. 

Terbaru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan satu kenyataan di laman X tentang larangan menjual produk tersebut. 

“Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) merupakan produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.

“Ia digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

“Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” jelas KKM lagi. 

Selain itu, KKM juga mengarahkan semua premis yang menjual produk tersebut untuk menghentikan serta-merta penjualan produk berkenaan bagi tujuan keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.

Pada masa sama, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial perlu menghentikan penyiaran iklan produk makanan tersebut. 

"Pihak industri makanan adalah diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan," kata KKM. 

KKM juga turut meminta orang ramai untuk peka dengan isu keselamatan makanan dan perlu sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makana yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan. 

Pihak Inside Scoop juga telah mengeluarkan kenyataan di pelbagai platform media sosial yang menjelaskan penjualan aiskrim perisa Pei Pa Koa akan dihentikan serta-merta atas arahan KKM dan meminta maaf atas kesulitan yang berlaku.

Jelas rangkaian itu, pelanggan yang telah memesan aiskrim berkenaan atas talian boleh meminta pemulangan semula wang dari pihak mereka. 

 

Sumber: KKM, Inside Scoop & MalaysiaKini

Destination: