‘Forest Bathing’ – Apa Dan Dimana Boleh Buat?

GAYA HIDUP
August 02, 2019 - 05:15 PM


Walaupun jarang didengari, ‘forest bathing’ sebenarnya pernah dipromosikan di Malaysia sekitar 2018 kalau tak salah.  Kalau diterjemahkan bulat – bulat, istilahnya merujuk kepada ‘mandi hutan’. Kedengaran agak pelik, tetapi ianya mungkin pernah kita lakukan ‘tanpa sedar’, cuma istilahnya kita tidak ketahui. Sama dengan konsep dark tourism yang sebenarnya kita tak tahu pun kita salah satu daripada mereka. 

Kalau nak diikutkan, forest bathing ni asalnya dari Jepun dan merupakan rutin disana sejak tahun 1980-an. Ia dikenali sebagai shinrin – yoku dan ia merupakan salah satu cara untuk atasi dan mengurangkan tekanan kepada golongan pekerja.

Ideanya mudah, ‘rasai’ atmosfera hutan. Dalam erti kata lain, kita perlu hayati segala apa yang ada disekeliling termasuk bunyi, bau, pemandangan dan lain – lain. Boleh dikatakan ianya satu terapi, tetapi kita lakukan di hutan.

Kenapa Patut Cuba?

Dalam era pemodenan sekarang, tambah pula persekitaran kota macam Kuala Lumpur ni, tak banyak hutan yang ada. Kalau ada pun, dah terusik.

Ada kajian menunjukkan menghabiskan masa ‘bersama pokok’ boleh berikan banyak manfaat kepada manusia. Sudut saintifiknya, pokok akan membebaskan phytoncides atau ‘essential oil’ pokok yang selain melindungi pokok dari kuman, ia juga memberikan banyak manfaat kepada kita.

Ada juga kajian secara saintifik membuktikan yang aktiviti forest bathing ini dapat meningkatkan sistem imunisasi badan, kurangkan tekanan dan menurunkan tekanan darah. Dengan melakukan aktiviti di hutan, kita akan ‘terputus’ hubungan dengan dunia luar seperti kerja, media sosial dan sebagainya. Jadi, secara tidak langsung, kita akan menjadi tenang, lebih menumpukan perhatian dan secara tidak langsung menghargai alam sekitar.

Cara Forest Bathing?

Walaupun namanya ‘mandi hutan’ ia sebenarnya tidak langsung melibatkan air, atau menyebabkan badan kita basah (melainkan hujan atau peluh).

Cara untuk mulakan forest bathing sebenarnya mudah je, cari hutan yang selamat dan berjalan masuk. Perhatikan keadaan sekeliling, gunakan kesemua deria yang ada, dan tumpukan perhatian kepada bunyi, bau dan persekitaran.

Untuk keselamatan, ikutlah trek yang dah tersedia. Trek ni biasanya adalah ‘jalan’ semulajadi yang ada di hutan ataupun disebabkan aktiviti hiking atau jungle trekking. Ambil seberapa lama masa yang korang perlu, jangan risau pasal benda lain kecuali keselamatan diri.

Ingat; 5 langkah untuk melakukan shirin-yoku atau forest bathing ni adalah :

#1. Tinggalkan telefon dalam kereta / di rumah! Pengalaman yang kita mahukan adalah apa yang ada di depan mata kita.

#2. Masuk ke kawasan hutan, biar minda kita berfungsi atau berkhayal (Cuma ingat jalan balik lah, nanti sesat pulak).

#.3 Berjalan sejauh mungkin, berbaring dalam hutan, peluk pokok, bukak kasut dan berkaki ayam. Pilih mana – mana yang korang rasa sesuai.

#4. Tumpukan pada pernafasan, pastikan korang dapat tenangkan fikiran. Perhatikan secara terperinci setiap apa yang ada dalam hutan tersebut, gunakan deria yang ada. Contoh; perhatikan saiz pokok, bentuk pokok, tekstur kulit pokok, dengar bunyi ungags, bunyi burung, bunyi air terjun dan lain – lain.

#5. Dah rasa tenang, puas hati, balik ke tempat kita masuk tadi dengan hati yang tenang dan perasaan lebih tenteram.

Sebagai penutup, forest bathing ni tujuan utamanya untuk kita lebih peka dan hargai alam sekitar dan persekitaran kita, kalau dilakukan dengan betul, kita akan mendapat minda yang tenang, fikiran ‘tak kacau’. Selain tu, boleh sihatkan diri jugak kan dengan buat aktiviti ringan, dah kalau seminggu tu, asik duduk dalam pejabat je, sekali – sekala, buatlah aktiviti lain sikit.

Ingat : Tinggalkan 'tapak kaki' sahaja. Kalau korang ada nak buang sampah dan sebagainya, simpan dulu, buang di tempat sepatutnya. Dan... tangan tu jangan gatal nak toreh nama dekat pokok dan sebagainya! Babab kang! Hee~