5 Benda Yang Dulu Kena Beli, Sekarang Free!

GAYA HIDUP
June 25, 2021 - 07:43 PM


Korang mesti biasa dengar orang tua-tua bila berborak mesti suka cakap tentang betapa murahnya barang-barang dulu, ataupun betapa mahalnya barang-barang dulu berbanding dengan sekarang. Dengan adanya kemajuan teknologi, makin banyak benda yang menjadi lebih mudah untuk diakses dan memudahkan ramai orang. 

Ini dia 5 perkara yang sekarang percuma, tapi dulu kalau ada duit baru boleh dapatkan:

1. PANGGILAN TELEFON

Zaman sekarang, nak buat panggilan bukan lah nak cakap percuma, tapi dah banyak syarikat telko yang memasukkan panggilan tanpa had ke dalam pakej bayaran, jadi korang hanya perlu bayar sekali sebulan dan boleh buat panggilan tanpa rasa risau. 

Dulu, bukan sahaja kena fikir dua kali sebelum membuat sebarang panggilan, malah sebenarnya agak mahal terutama sekali kalau korang membuat panggilan dari satu syarikat telco ke syarikat telco yang berbeza. Kalau yang kena guna telefon awam tu tak payah cerita lah, memang lelah menambah duit syiling untuk pastikan panggilan tak terputus. 

2. SISTEM GPS

Sama juga dengan panggilan tanpa had, akses internet kini satu perkara yang datang sekali dengan pakej telco dan dengan adanya telefon pintar sekarang korang dapat akses kepada Waze, Google Maps, Apple Maps, dan sebagainya, menjadikan navigasi sesuatu yang sangat mudah untuk didapati. 

Beberapa tahun dahulu, unit GPS berasingan perlu dibeli dan dipasang di dalam kenderaan. Antara jenama yang terkenal adalah Garmin kerana kualiti akses satelit yang pantas mampu memberikan lokasi yang tepat. 

3. MUSIK

Anak-anak muda sekarang tak payah cerita memang konfem ada salah satu Spotify, Apple Music, ataupun JOOX dalam telefon, dan ada sesetengah yang bagi korang dengar lagu tanpa sebarang bayaran dengan syarat korang kena dengar iklan. 

Pada waktu dahulu, musik adalah satu perkara yang dapat diakses melalui formal album sama ada kaset atau cakera padat, itu pun kadang-kadang ada 14 lagu je dalamnya. Untuk mendapatkan kaset atau cakera padat pula mesti kena beli, sebab tu orang dulu katanya lebih menghargai musik berbanding orang zaman moden. 

4. PERMAINAN VIDEO

Zaman sekarang nak main permainan digital ataupun video memang dihujung jari, cari je dalam gedung aplikasi di telefon pintar korang dan macam-macam akan muncul, dan kebanyakannya percuma, kecuali kalau korang nak elak main game dan diganggu iklan, boleh lah bayar. 

Zaman dulu kalau main permainan video memang paling tidak pun kena keluarkan RM10 untuk beli, itu pun yang cetak rompak. Yang tulen boleh mencecah harga ratusan ringgit. 

5. BERITA

Lebih kurang 10 ke 20 tahun dulu, masyarakat kita memang bergantung kepada surat khabar untuk mendapatkan berita-berita semasa. Namun dengan adanya kecanggihan teknologi, semuanya kini dihujung jari. 

Bukan sahaja percuma, lebih menarik lagi teknologi telah memberi peluang untuk kita mendapatkan berita dengan lebih pantas, malah ada yang secara langsung serta merta. Tapi dengan kepantasan tersebut juga datang padahnya iaitu kecenderungan berita palsu untuk tersebar. Jadi, korang hati-hati bila membaca sesuatu berita ya!

Sumber: Iluminasi