85% Kes BID di Sandakan Babitkan Individu Tanpa Vaksinasi

GAYA HIDUP
September 21, 2021 - 10:32 AM


Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Dr Johari Awang Besar, hampir 85 peratus kes kematian di luar hospital (BID) di Sandakan akibat COVID-19 didapati terdiri daripada individu tanpa vaksinasi. Jelas beliau, sejak Julai lepas, jumlah kematian di luar hospital akibat COVID-19 telah meningkat secara eksponen kebanyakannya membabitkan individu berisiko tinggi terutama mereka yang berusia melebihi 50 tahun.

"Pada Julai, Sandakan merekodkan enam kes BID dan angka itu meningkat kepada 55 bulan lepas (Ogos). Setakat 16 Sept, sudah terdapat 66 kes.

"Saya merayu kepada semua orang agar lebih memberi perhatian kepada golongan warga emas atau ibu bapa atau datuk nenek mereka kerana 90 peratus kes BID membabitkan mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas.

"Kira-kira 46 peratus jumlah kematian membabitkan mereka yang berusia lebih 70 tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Hakka di sini.

Dr Johari juga menggesa penduduk Sandakan agar merebut peluang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin kerana jumlah kes harian di daerah itu telah mencatatkan tiga angka sejak kebelakangan ini dan meletakkan Sandakan sebagai antara tiga daerah teratas dengan jumlah kes tertinggi di Sabah.

 

Sumber: Bernama

Destination: