"Afdhal Berpuasa Pada 9 Zulhijjah" - Ini 6 Keistimewaan Hari Arafah

GAYA HIDUP
June 26, 2023 - 01:37 PM


Hari Arafah merupakan salah satu hari paling mulia dalam Islam di mana waktu ini umat Islam yang mengerjakan ibadah Haji akan melakukan wukuf di Arafah yang merupakan hari kemuncak kepada ibadah haji. Hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah iaitu sehari awal sebelum Aidiladha.

Pada Hari Arafah juga merupakan hari kemerdekaan hamba-Nya dari api neraka di mana Baginda bersabda: "Hari yang Allah memerdekakan paling ramai hamba-Nya dari api neraka ialah hari Arafah. Sesungguhnya rahmat dan anugerah Allah mendekati mereka. Kemudian Allah melahirkan kebanggaan-Nya kepada para malaikat dengan ramainya mereka yang berwukuf di Arafah.

Pada hari Arafah, pintu langit terbuka luas, malah dosa-dosa kita terdahulu juga diampuni. 

Berikut merupakan keistimewaan Hari Arafah yang patut kita tahu agar sama-sama lebih menghayati dan memanfaatkan peluang yang telah Allah janjikan. Ini 6 keistimewaan hari Arafah:

1. Sebahagian Daripada Rukun Haji

Pentingnya hari Arafah ni kerana ia merupakan sebahagian daripada Rukun Haji.

Ibadah ini juga sangat signifikan dan puncak berkumpulnya jutaan jemaah Haji dari segenap pelosok dunia. 

Sesungguhnya menyempurnakan haji dengan wukuf di Padang Arafah merupakan rukun haji yang sangat agung seperti sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Haji itu berada di Arafah." (Riwayat Ibnu Majah : 3015)

2. Hari Kesempurnaan Agama

Di Arafah inilah Rasulullah telah menyampaikan khutbah Wada' atau khutbah perpisahan. Ia digelar sedemikian kerana Baginda wafat tidak lama selepas itu, setelah menyempurnakan khutbah tersebut.

Pada ketika itu, telah turunnya surah Al-Ma'idah ayat ke-3 sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agama mu dan telah Ku cukupkan kepada mu nikmat Ku dan telah Ku redhai Islam itu menjadi agama bagi mu." (Al-Ma'idah : Ayat 3)

3. Hari Arafah Merupakan Hari Raya Buat Orang Islam

Daripada Uqbah bin Amir RA, sabda Rasulullah yang bermaksud,

"Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum." (Riwayat Abu Daud : 20660)

Ini adalah hari raya yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia ini selepas menyempurnakan perintah Tuhan mereka yang Maha Memiliki lagi Maha Memberi. Juga sebagai pemberian daripada apa yang telah dijanjikan oleh Allah dalam bentuk ganjaran serta pahala.

4. Hari Arafah Adalah Hari Penyaksian 

Hari Arafah juga digelar sebagai hari penyaksian kerana pada hari tersebut Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud,

"Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam dan mengeluarkan zuriat seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, "Bukankah Aku Tuhan Kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi", yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : "Sesungguhnya kami lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." (Riwayat Ahmad)

5. Kebesaran Berdoa Pada Hari Arafah

Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad SAW mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa.

Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah khusus untuk jemaah haji yang berada di Arafah, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan haji, boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut.

Ini kerana tiada dalil khusus yang menghadkannya.

Daripada Abdullah bin 'Amr, bahawa Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah." (Riwayat al-Tarmizi : 3509)

6. Ganjaran Puasa Arafah

Umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah seperti mana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud,

"Sesungguhnya Nabi SAW bersabda, berpuasa pada hari Arafah dihitung oleh Allah dengan meluputkan dosa setahun yang lalu dan dosa pada tahun akan datang." (Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Berpuasa pada hari tersebut adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Ia merupakan peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan kerana ganjaran puasa pada hari Arafah menghapuskan dosa lalu dan dosa akan datang.

Jangan lupa untuk niat berpuasa pada hari Arafah iaitu, "Nawaitu souma ghodin min yaumil arafah, sunnatan lillahi taala" yang bermaksud, sahaja aku berniat puasa sunat hari Arafah kerana Allah Taala.

Begitu banyak kelebihan hari Arafah yang Allah tawarkan kepada kita sebagai umat-Nya untuk mengambil peluang.

Jadi, set-kan dalam reminder phone korang dan sama-sama rebut kesempatan ini supaya tidak terlepas untuk perbanyakkan amalan pada hari tersebut. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan permudahkan amalan dengan tekun dan istiqamah. Amin!

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan & Sinar Plus