"Jamah Dagingnya Ibarat Makan Bangkai" - Dr Izhar Ariff Jawab Viral Video Lembu Mati Terjerut Sebelum Disembelih

GAYA HIDUP
July 04, 2023 - 01:53 PM


Semalam viral di media sosial sebuah video yang memaparkan seekor lembu didakwa telah mati dahulu sebelum sempat disembelih kerana dipercayai akibat terjerut tali yang mengikat lehernya.

Menguatkan dakwaan apabila lembu malang berkenaan terjelir keluar lidahnya, selain tubuhnya kaku dan juga tidak mengeluarkan darah memancut ketika disembelih menggunakan pisau.

Disebabkan status haiwan berkenaan -- ramai pihak yang mempersoalkan sama ada ibadah korban tersebut sah dan adakah lembu itu halal untuk dimakan?

Tampil bagi menjawab persoalan orang ramai itu, Pakar Rujuk Bidang Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim membuat sebuah posting di Facebooknya bagi memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

Menurut Dr Izhar, daging lembu itu HARAM untuk dimakan jika ia mati sebelum disembelih kerana termasuk dalam kategori BANGKAI.

Penyembelihan haiwan itu juga TIDAK SAH untuk menjadi ibadah korban dan lembu lain perlu disembelih semula pada hari-hari Tasyrik.

Bukanlah perkara yang remeh, pihak penganjur juga perlu MENGGANTI semula haiwan itu dengan lembu lain kepada peserta.

Izhar yang juga penceramah bebas itu kemudian berkongsi perkara penting yang perlu diperhatikan sebelum melaksanakan ibadah korban.

3 PERKARA PERLU DILAKUKAN SEBELUM MENJALANKAN IBADAH KORBAN : 

1. Haiwan mati sebelum disembelih. Hati-hati dengan tali lembu kerana dikhuatiri lembu mati tercekik sebelum sembelih.

2. Tulang patah. Kaedah jatuhkan haiwan kena ada ilmu. Jika tidak, ia akan menyebabkan tulang binatang itu patah riuk sebelum disembelih.

3. Pisau tidak tajam. Pisau yang sebegini akan menyiksa kematian haiwan.

Destination: