Aplikasi Penghantaran Makanan Halal Pertama Di Malaysia Kini Mula Beroperasi Di JB

GAYA HIDUP
January 19, 2021 - 06:01 PM


Bagi anda yang tinggal di Bandaraya Johor Bahru dan kawasan sekitarnya, mulai semalam 18 Januari 2021 -- anda sudah boleh menggunakan aplikasi khidmat penghantar makanan halal yang pertama di Malaysia iaitu "ODE JEE"!

Pengendali aplikasi Ode Jee menghimpunkan peniaga Islam atau pengusaha yang memiliki sijil halal sahaja dan sehingga kini telah mempunyai lebih 1,000 vendor yang menawarkan pelbagai pilihan makanan serta minuman halal dengan menggunakan khidmat lebih 200 penghantar makanan di Johor.

Selaras dengan ‘ikrar’ menjadi aplikasi penghantaran makanan halal nombor satu di Malaysia, Ode Jee turut menubuhkan sebuah panel syariah.

Panel Syariah ini akan mengendalikan dan memantau semua aspek pematuhan halal dalam aplikasi Ode Jee.

Panel ini dinggotai oleh tiga tokoh agama terkenal Johor, iaitu Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr. Noh Gadut; bekas Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin dan Pengurus Tabung Wakaf Rakyat Johor, Ustaz Mior Hazwan Abd. Rani.

Pengerusi Ode Jee, Datuk Seri Ismail Alwasi Khan berkata perkhidmatan berkenaan akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat dan dijangka dapat beroperasi sepenuhnya di seluruh Johor menjelang akhir bulan ini.

Ketika ini orang ramai boleh membuat pesanan menerusi aplikasi Ode Jee yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Huawei Store.

Pada masa ini, hanya pemilik telefon pintar yang menggunakan sistem Android dan Huawei sahaja boleh memuat turun aplikasi Ode Jee menerusi Google Play Store serta Huawei Store.

Manakala bagi pengguna IOS pula, mereka boleh memuat turun aplikasi Ode Jee menerusi Apple Store tidak lama lagi.

Sumber: BERNAMA

 

Destination: