Betul Ke Bagi Duit Raya Menyerupai Angpau Tahun Baru Cina? Mufti Wilayah Jelaskan Hukumnya

GAYA HIDUP
April 17, 2023 - 04:07 PM


Bila tiba Hari Raya Aidilfitri, pastilah sesi pemberian duit raya yang paling dinantikan khususnya bagi golongan kanak-kanak.

Menghidupkan suasana, ada segelintir individu yang berpendapat amalan tersebut menyerupai adat kaum lain iaitu tasyabbuh (penyerupaan).

Mereka menganggap amalan ini seakan meniru tradisi masyarakat Cina yang memberi Angpau di Tahun Baru Raya Cina.

Namun begitu, isu hukum pemberian duit raya ini sebenarnya telah dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman web pejabat berkenaan -- tiada unsur tasyabbuh dalam pemberian duit raya.

Bahkan budaya tersebut termasuk dalam kategori amalan yang disunatkan bagi umat Islam iaitu bersedekah.

“Kami melihat bahawa tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh di antara perkara tersebut (pemberian duit raya pada bulan Syawal).

“Ini kerana pemberian duit raya ada asasnya di sisi Islam iaitu termasuk dalam kategori sedekah yang hukumnya sunat. Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini,” katanya.

Oleh yang demikian, masyarakat Islam tidak perlu was-was ketika memberi duit raya, selain bersedekah kita juga dapat menggembirakan hati anak-anak kecil.

Bagaimanapun, Mufti Wilayah Persekutuan turut menyatakan bahawa pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya.

Ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung.

Namun demikian beliau juga mencadangkan beberapa dhawabit seperti berikut:

  • Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
  • Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
  • Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.

Destination: