Bosan Duduk Rumah? 5 Langkah Untuk Latih Kreativiti Korang

GAYA HIDUP
June 03, 2021 - 03:19 PM


Faham sangat kalau korang cakap dengan min yang bila duduk rumah ni, kalau kita nak cuba selesaikan 10 perkara pun belum tentu 5 boleh siap sebab banyak sangat gangguan, dan untuk min sendiri sudah tentulah katil yang sentiasa berada di dalam ruang penglihatan, hehe. 

Musim duduk rumah ni sebenarnya ada banyak perkara yang korang boleh sama ada memberikan penambahbaikan kepada ruang rumah ke, kenderaan korang ke, ataupun kalau memang tiada benda nak tambah baik dah, baik korang cuba benda-benda yang boleh tingkatkan kualiti dalam diri korang sendiri. 

Contohnya, kreativiti. Memang betul orang kata yang sesetengah orang dilahirkan dengan bakat otak yang kreatif, dan memang semua idea yang keluar dari dorang sangat-sangat berbeza berbanding orang lain. Tetapi, tak bermaksud korang tak boleh tingkatkan kreativiti korang dengan latihan. 

Di sini, min nak kongsikan 5 latihan yang korang boleh buat sambil korang kebosanan di rumah untuk tingkatkan tahap kreativiti korang. 

1. UBAH CARA PEMIKIRAN

Cara pemikiran di sini bermaksud cara korang memberi reaksi ataupun pendapat korang tentang sesuatu perkara. Selalunya, bila kita terdetik, ataupun terpanggil untuk memberikan respon, dan tanggapan kepada sesuatu topik, kita akan ada satu jawapan yang standard yang menjadi kebiasaan. 

Tapi, antara cara untuk korang latih minda korang untuk menjadi lebih dinamik adalah dengan memberi respon hanya selepas korang kenal pasti dengan lebih mendalam tentang sesuatu topik, termasuklah pendapat daripada pandangan yang berbeza dengan pandangan korang sendiri. 

Dengan ini, keputusan dan respon yang korang berikan akan lebih menyeluruh, dan berisi. Jadi, bila duduk rumah dan tak ada apa-apa nak buat, boleh buat kaji selidik sikit, tentang topik yang sentiasa berada di sekeliling korang. 

2. TULIS JURNAL

Jurnal ni syok kalau korang jadikan satu kebiasaan, tuliskan apa yang korang lakukan setiap hari, dan perkara-perkara yang positif. Dengan melakukan perkara macam ni, korang juga dapat menjadikan hari-hari korang lebih positif. 

Selain perkara yang berlaku harian, tuliskan idea-idea yang terlintas di minda korang dan bila korang baca balik, korang boleh latih minda korang untuk pergi lebih jauh dengan idea yang sedia ada. Bezanya bila korang tulis setiap perkara yang korang fikirkan ialah korang tak akan lupa sebab kadang-kadang perkara yang terlintas itu lah yang bernas, tapi kita lupa. 

Zaman sekarang ni tak semestinya kena tulis dalam buku, tulis pada telefon pun boleh. Min sendiri pun ada jurnal yang min letakkan dalam group chat min seorang diri di Whatsapp. Jadi, kalau ada apa-apa yang terlintas, min akan 'hantar message' pada diri sendiri.

3. BAIKI KELEMAHAN

Setiap kelemahan kita adalah sesuatu perkara yang boleh menjadikan kita sesorang di tahap yang berbeza secara individu jika dibaiki ataupun dicara mekanisme untuk melawan kelemahan tersebut. 

Manusia tidak sempurna jadi setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing, yang mungkin korang je yang tahu, dan di kala korang berseorangan lockdown ni, eloklah kalau korang lihat pada kelemahan diri dan cari solusi yang terbaik untuk korang berdepan dengan masalah tersebut. 

Paling utama sekali, jangan takut untuk gagal kerana guru yang terbaik adalah kegagalan. Orang puteh kata, learn from the mistakes!

4. NILAI SEMULA BULATAN RAKAN

Pernah dengar kan bagaimana acuan begitulah kuihnya? Pepatah ni bukan sahaja digunapakai kepada ahli keluar, tetapi sahabat dan manusia dikeliling korang. 

Bukan bermaksud korang perlu membuang sesetengah individu daripada hidup korang, cuma seperti di nombor 1, bergaul dengan mereka yang berpendapat berbeza dan mungkin lebih kreatif dan bersifat lebih terbuka akan memberikan korang ruang untuk melihat dunia dari sisi yang berbeza. 

5. TERAPI MUSIK

Pernah tak korang terfikir kenapa dialog yang diiringi lagu sedih lebih mendalam impak dalam emosi kita? Musik sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam reaksi yang diberikan kepada penerima. Perkara ini juga memberikan peranan bagi korang yang sedap berfikir, dan juga dengan berbual. 

Cari tahu jenis musik yang memberikan rasa 'celik' kepada minda korang dan latih diri berfikir di dalam mood musik yang paling sesuai dengan korang. Mesti korang dapat menghasilkan sesuatu yang berbeza. 

Sumber: sinarplus