"Bunuh Diri" Vokalis Linkin Park, Chester Bennington di Temui Mati

GAYA HIDUP
July 21, 2017 - 10:49 AM


Penyanyi kumpulan Linkin Park iaitu Chester Bennington meninggal dunia pada usia 41 tahun selepas dipercayai membunuh diri.

Laporan menyebut, mayat Chester ditemui di kediamannya di Palos Verdes Estates, Los Angeles kira-kira pukul 8.56 pagi, Khamis (waktu tempatan).

Perkara itu turut disahkan oleh oleh pihak polis Los Angeles selepas portal TMZ melaporkan penyanyi itu meninggal dunia selepas menggantung dirinya.

Bagaimanapun pihak berkuasa tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai kematian Chester.

Chester bersama Linkin Park kini sedang dalam rangka konsert jelajah One More Light dan dijangka akan mengadakan persembahan di Xfinity Centre, Massachusetts pada 27 Julai ini.

Pemuzik terkenal itu sebelum ini mempunyai sejarah ketagihan dadah dan alkohol namun tidak dapat dipastikan adakah ia mempunyai kaitan dengan tindakan mengambil nyawanya sendiri.

Chester meninggalkan enam cahaya mata daripada dua perkahwinan termasuk bersama Talinda Ann Bentley yang dikahwininya selama 12 tahun.

Laporan juga menyebut kematian Chester berlaku pada hari jadi rakan baiknya penyanyi Chris Cornell yang turut membunuh diri pada Mei lalu.

Malah Chester turut menghadiri dan mengadakan persembahan pada upacara pengebumian bagi menghormati rakannya itu. 

Chester bersama Linkin Park menjadi fenomena di seluruh dunia apabila Meteora yang dilancarkan pada 2003 melonjakkan nama mereka sekali gus album itu dinamakan sebagai karya rock indie terbaik sepanjang zaman. -mstar