Dilarang Merokok Dalam Pesawat, Tapi Ada Tempat Abu Rokok. Kenapa?





Tahukah anda perbuatan merokok di dalam pesawat tidak diharamkan sepenuhnya di Amerika Syarikat sehingga tahun 2000?

Kini, hampir semua penerbangan antarabangsa mengharamkan perbuatan merokok ketika di dalam pesawat.

Sungguhpun demikian, tempat abu rokok masih lagi disediakan di dalam tandas kebanyakan pesawat.

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa pesawat-pesawat masih lagi dilengkapi dengan tempat abu rokok?

Menurut laporan CNN, sesetengah pesawat masih dilengkapi dengan tempat abu rokok kerana ia masih diwajibkan oleh undang-undang, khususnya berdasarkan Bab 14 Kod Peraturan Persekutuan.

"Tidak kira sama ada perbuatan merokok dibenarkan di mana-mana bahagian pesawat, tandas harus dilengkapi dengan tempat abuk rokok yang boleh ditanggalkan. Ia harus diletakkan di tempat yang jelas kelihatan ataupun di setiap pintu tandas", menurut peraturan tersebut.

Malah jika ia rosak, tempat abu rokok itu harus dibaiki dalam tempoh 72 jam.

Ini kerana masih ada penumpang yang cuba merokok semasa dalam penerbangan walaupun perbuatan sedemikian boleh menyebabkan pelaku didenda ataupun diberkas.

Pada Mac tahun ini, seorang lelaki didapati merokok di dalam tandas pesawat IndiGo semasa penerbangan dari Goa ke Delhi. Tahukah anda bahawa perbuatan sedemikian juga kerap berlaku?

Oleh sebab itu, tempat abu rokok tetap perlu disediakan supaya pesawat mempunyai tempat yang selamat untuk perokok membuang puntung rokok, dan bukannya membuang ke dalam tong sampah hingga boleh menyebabkan kebakaran.

 

;