Tatacara Solat Fardhu Atas Kapal Terbang Yang Ramai Orang Terlepas Pandang

GAYA HIDUP
May 26, 2023 - 04:04 PM


Ramai antara kita yang kerap bermusafir ke luar negara atas pelbagai tujuan sama ada untuk melancong, kerja mahupun urusan peribadi.

Setiap kali bermusafir pastinya kita akan mengambil masa perjalanan yang lama dan kadang-kala memerlukan untuk kita mengambil penerbangan yang memakan masa belasan atau sehingga puluhan jam.

Disebabkan ingin tiba di destinasi tujuan dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak mahu kejadian tertinggal kapal terbang berlaku -- ada antara kita yang ternyata mengambil ringan tentang kewajipan solat sewaktu bermusafir.

Lebih parah apabila dalam perjalanan panjang yang memerlukan kita untuk menaiki pesawat -- ada juga yang sanggup meninggalkan solat kerana tidak tahu cara sebenar menunaikannya ketika berada dalam kapal terbang.

Tambah menyedihkan ada beberapa kategori umat Islam yang ramai yang mengabaikan solat fardhu, ada pula yang tidak berwuduk sebelum solat sedangkan kemudahan air boleh didapati dengan mudah, ada yang solat duduk tanpa usaha mencari tempat-tempat kosong luas dibelakang bahagian kapal dan lebih menyedihkan ada yang tidak solat dengan alasan akan qadha’ sesudah sampai.

Walau di mana pun kita berada sebagai seorang hambaNya menunaikan solat fardhu adalah wajib hukumnya dan berdosa sekiranya kita meninggalkan dengan sengaja.

Bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ada mengajarkan tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.

Bagi mengekang masalah tersebut, Pendakwah Bebas iaitu Ustazah Asma' Harun ada berkongsi di laman Facebook rasmi beliau mengenai tatacara solat di atas kapal terbang khas buat mereka yang sedang bermusafir dalam perjalanan yang panjang.

Menurut beliau, dalam hal ini -- kita hendaklah melihat kepada 2 keadaan:

1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.

2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.

Imam Nawawi berkata dalam karyanya, Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab:

أَمَّا الرَّاكِبُ فِي سَفِينَةٍ فَيَلْزَمُهُ الْإِسْتِقْبَالُ وَ اِتْمَامُ الْأَرْكَانِ سَوَاءٌ كَانَتْ وَاقِفَةً أَوْ سَائِرَةً لِأَنَّهُ لَا مَشَقَّةَ فِيهِ وَهٰذَا مُتَّفَقٌ عَلَيهِ

Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”

Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:

✅ Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.

✅ Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.

✅ Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.

✅ Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.

Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) -- hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.

Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya ialah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat.

Namun, jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki beralih arah (terumbang-ambing) maka HARUS bagi dirinya melakukan dan menyempurnakan solat tersebut dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.

ADAKAH BOLEH SOLAT HORMAT WAKTU DALAM KAPAL TERBANG?

Keadaan solatnya diperincikan dalam 2 keadaan:

a) Jika seseorang dapat mendirikan solat dengan menyempurnakan gerakan ruku' dan sujud, maka dalam hal ini dia tidak perlu qadha solatnya.

b) Manakala sebaliknya (tidak dapat menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud atau dia solat tidak menghadap ke arah kiblat) maka wajib baginya qadha solat menurut kesepakatan para ulama.

Kesimpulannya, walau apa jua keadaan sekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan kerana ia merupakan tiang agama dan merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak.

Berdasarkan dalil di atas, WAJIB kita qadha solat semula bagi solat fardhu.

APAKAH HUKUM BAGI YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA?

Solat merupakan satu pertalian antara hamba-Nya dengan Tuhan-Nya. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan penciptanya dikira berdosa besar. Apatah lagi mengingkari suruhan-Nya.

Firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”

(Surah al-Ma’un: Ayat 4-5)

BAGAIMANA CARA MENGETAHUI WAKTU SOLAT KETIKA BERADA DALAM KAPAL TERBANG?

Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui waktu solat adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang.

Tuan puan boleh juga bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan, terutamanya berkaitan tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang.

Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.

Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ.

Maksudnya: “Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Oleh itu, jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.

Kemudian, bagi solat Zuhur dan Asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu Zuhur dan dijama’kan dengan waktu Asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu Zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.

Manakala, solat Maghrib dan Isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib.Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isya’, sebagaimana ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isya’ sebagai jama’ ta’khir.

RUANG SOLAT TERHAD DALAM KAPAL TERBANG JANGAN DIJADIKAN ALASAN TINGGALKAN SOLAT

Perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa.

Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisitif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat.

Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.

Sumber: Facebook Ustazah Asma' Harun

Destination: