'Tukar Derita Jadi Bahagia' - Ini 15 Tips Dikongsi Dato’ Fadzillah Kamsah

GAYA HIDUP
July 04, 2022 - 05:33 PM


Ada kata-kata pujangga yang mengatakan 'dunia memang tempat berpenat dan akhirat adalah tempat berehat'.

Oleh itu tidak hairanlah jika setiap hari kita diuji dengan pelbagai ujian, masalah dan cabaran yang kadang-kala membuatkan kita menderita.

Tetapi sebagai hamba-Nya, itu sememangnya bahagian kita untuk diuji kerana di setiap kesusahan sebenarnya Allah SWT ingin menghadiahkan ganjaran pahala.

Jadi, dalam menukar rasa derita menjadi bahagia sebenarnya ada tips serta caranya yang dikongsikan oleh Pakar Motivasi terkenal iaitu Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah. 

INI 15 CARA NAK UBAH DERITA KEPADA BAHAGIA

1. TUKAR RUTIN HARIAN DIRI

Hidupkan pagi kamu seawal 4.30 pagi. Waktu kamu sedang sendiri, masa itu kamu dekatkan diri dengan beribadat dan lakukan aktiviti produktif seperti membaca.

2. AMALKAN GAYA HIDUP MINIMALIS

Perhatikan sekeliling di dalam rumah, asingkan mana yang perlu dan tidak diperlukan lagi. Bungkus yang tak perlu dan dermakan pada yang memerlukan.

3. BUAT PEMERIKSAAN KESIHATAN

Sentiasa buat pemeriksaan kesihatan setiap 3-6 bulan. Amalkan gaya hidup sihat dan perhatikan apa yang kamu makan. Pastikan nutrisi yang diambil adalah seimbang.

4. CARI 'TRUE-CALLING' DALAM HIDUP

Maksudnya kamu cari sesuatu yang bila kamu lakukan akan buat kamu jadi bersemangat dan hidup sentiasa terinspirasi. Walaupun apa pun keadaan kamu, penat ke sakit ke, kamu tetap ada semangat nak buat.

5. JAGA KESIHATAN MENTAL

Pelihara diri kamu terutama kesihatan mental kamu. Sentiasa jaga apa yang kamu fikirkan, elakkan overthinking dan gunakan minda kamu untuk berfikir tentang kebesaran Allah SWT dan alam.

6. JAGA HUBUNGAN DENGAN SANG PENCIPTA

Jaga hubungan kamu dengan Allah SWT terlebih dahulu. Periksa solat 5 waktu dan sentiasa solat awal waktu.

7. JAGA SILATURAHIM DENGAN KELUARGA

Sentiasa mohon maaf dengan mak ayah dan adik-beradik. Sentiasa juga tanya khabar saudara mara baik jauh ataupun dekat.

8. PERBAHARUI KEHIDUPAN SOSIAL

Lihat circle kamu. Jika toksik, keluarlah segera. Carilah mereka yang sentiasa beri inspirasi dan dorong kamu ke arah kebaikan.

9. JADIKAN 'RUMAHKU, SYURGAKU'

Buat rumah kamu jadi lebih nyaman dan tenteram. Pastikan rumah ada pengudaraan yang baik. Pasang pewangi, sentiasa kemas rumah dan bersihkan tandas selalu.

10. CARI PELUANG MEMBINA KERJAYA

Pastikan tempat kerja kamu adalah tempat kerja yang dapat membina kerjaya kamu. Bukannya sesuatu pekerjaan yang mengekalkan kamu di satu tahap sahaja. Hidup harus ada kemajuan, begitu juga dengan kerjaya dan tingkat pendapatan kamu.

11. TUKAR SUDUT PANDANG DALAM MELIHAT SESUATU MASALAH

Tukarkan cara kamu melihat masalah. Lihat ia sebagai peluang untuk belajar. Cari solusi. Tak jumpa. Cari lagi dan terus cari.

12. BUAT KERJA SAMPINGAN YANG DIMINATI

Buat kerja sampingan mengikut minat dan kesukaan kamu. Asah bakat dan skil kamu supaya kamu dapat duit dengan hal yang kamu suka. Ia akan buat kamu lebih bahagia dari merana rasa terpaksa.

13. BERI SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT

Ikuti NGO, kerja amal dan sentiasa dekatkan diri dengan orang ramai. Gunakan masa dan tenaga kamu sebagai jalan ‘sedekah’ supaya kamu suburkan ladang pahala di akhirat kelak.

14. DEKATKAN DIRI DENGAN ALAM

Pada hujung minggu, ambil masa untuk pergi beriadah, masuk hutan, berkhemah, mandi air terjun, ke sungai dan panjat bukit atau gunung. Hutan dan alam ada ion yang dapat meneutralkan ion negatif dalam badan kamu.

15. SENTIASA MAAFKAN DIRI SENDIRI DAN ORANG SEKELILING

Memaafkan adalah tanda kamu kuat dan memilih untuk move on dari rasa derita yang tiada gunanya.

Kita hidup bukan sekali di atas dunia, tetapi kita hidup setiap hari. Maka setiap hari adalah peluang baru untuk kita bahagia.

Jika kita tak boleh berbahagia di dunia macam mana kita nak “taman bahagia” yang Allah telah siapkan untuk kita di akhirat sana.

Sumber: Dato' Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah

 

Destination: