Disney+ Hotstar Akan Tiba, Disney Tamatkan Saluran TV Di Asia Tenggara

GAYA HIDUP
May 07, 2021 - 11:59 AM


Sekitar Disember lalu, Astro telah mengumumkan bahawa penyiaran saluran Disney mereka bakal dihentikan awal tahun ini, dan tepat pada 1 Januari, kesemua saluran Disney iaitu Disney XD, Disney Junior dan Disney Channel, tidak lagi dapat diakses dan digantikan dengan beberapa saluran lain.

Walaupun tiada sebarang maklumat lanjut tentang tindakan tersebut, ianya berkemungkinan berkait rapat dengan galakan penggunaan Disney+ Hotstar yang diumumkan akan tiba untuk pengguna di Malaysia pada 1 Jun akan datang ini. 

Disney dilaporkan bakal menutup 18 saluran TV mereka di Asia Tenggara dan Hongkong iaitu:

DISNEY
Disney Channel, Disney Junior

FOX
Fox, Fox Crime, Fox Life, FX, Fox Movies, Fox Action Movies, Fox Family Movies, Fox Sports, Fox Sports 2, Fox Sports 3

STAR
Star Movies China, SCM Legend, Star Sports 1, Star Sports 2

NAT GEO
Nat Geo People

LAIN-LAIN
Channel V

Menurut mereka, kesemua saluran ini bakal ditamatkan bermula 1 Oktober 2021. Bagaimanapun, 4 lagi saluran TV mereka akan dikekalkan, iaitu  National Geographic Channel, Nat Geo Wild, Star Chinese Channel, and Star Chinese Movies.

Menurut Variety, keputusan ini dilakukan oleh Disney bagi mengukuhkan pasaran mereka di Asia Tenggara & Hongkong selain satu usaha mereka untuk mempromosikan penyiaran streaming mereka iaitu Disney+, dan yang bakal diperkenalkan di Malaysia, Disney + Hotstar. 

Hotstar dulu merupakan platform penstriman video-on-demand India yang dimiliki dan diuruskan oleh Star India. Syarikat tersebut kemudian diambil alih 21st Century Fox, yang kemudiannya telah diambil alih pula oleh Disney. Disney kemudian mengumumkan bahawa Hotstar, dan Disney+ bakal diintegrasikan. 

Disney+ Hotstar bakal menampilkan pelbagai kandungan asal Hotstar, dan juga kandungan Disney+ sendiri, termasuk siri dan filem tersendiri milik Disney+, melebihi 800 filem dan 18,000 episod siri terkenal television daripada syarikat The Walk Disney yang merangkumi Disney, Marvel, Pixar, Lucasfilm, National Geographic, FX, 20th Century Studios, dan banyak lagi. 

Disney+ Hotstar juga akan menjadi platform penstriman eksklusif premier dari studio-studio tempatan, dan filem-filem yang pernah memenangi anugerah seperti J2: J Retribusi, Zombitopia, Ada Hantu, Ejen Ali, Upin & Ipin, dan banyak lagi.