Esok Dah Boleh Balik Kampung, Highway Dijangka Sesak Macam Cuti Raya!

GAYA HIDUP
June 09, 2020 - 01:57 PM


Hari ini (9 Jun) merupakan hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.

Ini juga bermakna bermula tengah malam nanti dan esok -- lebuh raya utama di seluruh negara dijangka akan sesak serta dipenuhi dengan kenderaan orang ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung selepas aktiviti merentas negeri telah dibenarkan.

Pastinya ramai warga kota yang telah membuat permohonan cuti daripada majikan masing-masing untuk melepaskan kerinduan termasuk golongan bujang yang mahu pulang ke kampung menziarahi ibu bapa selepas "terpisah" hampir 3 bulan akibat pelaksanaan PKP dan PKPB.

Malah, sambutan Hari Raya Aidiladha yang dijangka pada 31 Julai ini juga pasti akan lebih meriah selepas perayaan dan ibadah korban turut dibenarkan, namun perkara itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam.

Selaras dengan fasa pemulihan ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik juga dibenarkan -- namun bagi yang berhasrat melancong ke luar negara, kenalah 'tunggu dahulu' kerana sempadan negara masih ditutup buat masa ini.

Sudah pastinya perkembangan itu boleh dianggap sebagai permulaan positif bagi industri pelancongan bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan susulan penularan pandemik COVID-19.

Apapun masih terdapat beberapa perkara perlu diperjelaskan lebih lanjut khususnya mengenai SOP penggunaan fasiliti di hotel.

Sementara itu, bagi ibu bapa pula yang tertanya-tanya tarikh sekolah akan dibuka semula, sektor itu akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh PKPP dan pengumuman terperinci mengenainya dijangka akan dimaklumkan Kementerian Pendidikan esok (10 Jun).

Seperti kata Perdana Menteri, PKPP yang akan dilaksanakan ini adalah fasa 'exit strategy' atau strategi keluar negara daripada "perang" menentang pandemik COVID-19.

Walaupun pelbagai kelonggaran akan diberikan, kita kenalah sentiasa jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung kerana tanggungjawab mengawal penularan COVID-19 adalah di tangan kita.

Namun setakat ini terbukti kepatuhan dan disiplin tinggi ditunjukkan oleh rakyat, selain pengorbanan petugas barisan hadapan tidak sia-sia, apabila jumlah kes positif jangkitan COVID-19 semalam hanya mencatatkan 7 kes sahaja, iaitu yang terendah direkodkan sejak 18 Mac lalu.

Ini menyaksikan Malaysia kekal berjaya dalam membendung penularan wabak itu dengan berkesan dan kini memasuki fasa pemulihan.

Ayuh, Malaysia! Kita Mesti Menang!

Destination: